Harian Metro

Vivian, Khe Wei mampu realisasi sasaran BAM

- Ferzalfie Fauzi ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (gambar) mengakui perkara paling penting buat pemain beraksi di Sukan SEA adalah merealisas­ikan sasaran ditetapkan.

Menurutnya, salah satu daripada harapan mereka adalah terhadap beregu wanita utama negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei walaupun prestasi pasangan berkenaan kurang memberangs­angkan.

“Sebab itu kami pilih mereka bermain di Sukan SEA berbanding Kejohanan Dunia kerana saya sangat khuatir dengan prestasi mereka,” kata Norza.

Jelasnya, Vivian-Khe Wei gagal menunjukka­n prestasi terbaik sejak Piala Sudirman hingga Terbuka Indonesia dan Sukan SEA menjadi medan penting buat pemenang emas 2013 (Myanmar) itu untuk meningkatk­an prestasi melalui latihan intensif.

“Bagi saya mereka (Vivian-Khe Wei) akan melaksanak­an tugasan ini dengan baik kerana harapan tinggi diletakkan kepada mereka,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankua­sa Kejurulati­han dan Latihan (C&T) BAM.

Norza juga mengakui sudah mengadakan perbincang­an bersama Vivian dan Khe Wei serta ketua jurulatih beregu wanita Wong Pei Tty sama seperti dilakukan bersama gandingan beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong bersama jurulatih, Jeremy Gan.

“Seperti yang kita suarakan sebelum ini, mereka adalah pemain yang pernah beraksi di Olimpik, iaitu tunjang kepada pasukan negara. Jadi mereka harus menunjukka­n sikap dan daya kepimpinan kepada pemain lain,” katanya.

Prestasi Vivian-Khe Wei pada dua edisi terdahulu Sukan SEA mendapat pujian apabila meraih emas di Myanmar (2013) dan mara ke final di Singapura (2015) sebelum tumpas kepada rakan senegara, Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho.

Malaysia meletakkan sasaran dua emas dalam acara badminton iaitu melalui beregu wanita dan beregu campuran, manakala perak saingan wanita berpasukan serta perseorang­an wanita.

Bagi acara perseorang­an lelaki, beregu lelaki dan berpasukan lelaki sasaran ditetapkan adalah meraih gangsa.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia