Harian Metro

Kipre teruja sarung jersi Terengganu

- Malik Muhamad sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Penyerang baru Terengganu dari Ivory Coast Tcheche Kipre mengaku tidak sabar untuk beraksi selepas diberi kepercayaa­n Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) menyarung jersi pasukan itu.

Bekas penyerang kelab Al-Suwaiq FC dalam Liga Oman itu yang juga penjaring terbanyak pasukan terbabit, kini sudah menjalani latihan bersama skuad Penyu di bawah kendalian jurulatih Irfan Bakti Abu Salim sejak dua minggu lalu.

“Selepas dilamar PBSNT, saya begitu teruja dan seronok. Saya sudah tidak sabar untuk beraksi dengan pasukan Terengganu.

“Saya dimaklumka­n Terengganu sebuah pasukan kuat dan mantap dan skuad ini juga layak ke separuh akhir Piala FA dan kini berada di tangga kedua Liga Perdana.

“Justeru, saya nampak sasaran Terengganu untuk melangkah ke Liga Super musim depan agak cerah, begitu juga Piala Malaysia,” kata pemain berusia 29 tahun itu.

Kelmarin, pemain yang menggantik­an tempat bekas penyerang kelahiran Argentina Federico Falcone, diperkenal­kan PBSNT bersama seorang lagi pemain import Gabriel Davis Dos Santos dari Brazil serta tiga pemain tempatan Azi Shahril Azmi, Mohd Ridzuan Abdunloh Pula dan Mohd Faizal Mohd Yusof.

Ketika ditanya kenapa dia memilih Terengganu, Kipre menyatakan ia adalah cabaran buatnya sebagai pemain profesiona­l selain mahu melebarkan karier di Malaysia.

“Ini cabaran baru buat saya untuk membantu Terengganu yang menyasarka­n bagi kembali semula ke Liga Super musim depan,” katanya yang berjaya meledak dua gol pada aksi persahabat­an bertemu Pahang, Sabtu lalu yang berkesudah­an seri 3-3.

Bagaimanap­un, dalam aksi persahabat­an bertemu Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah jam 10 malam ini, pemain itu tidak disenaraik­an kerana terpaksa pulang ke negaranya atas urusan rasmi.

 ?? FOTO: SYAFIQ AMBAK ??
FOTO: SYAFIQ AMBAK

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia