Harian Metro

Tembakan sambut berbuka

- Izlaily Nurul Ain Hussein izlaily@hmetro.com.my

 Pengawal keselamata­n cedera dibedil penyamun kedai emas

“Semua orang seperti tergamam dan tidak berani berbuat apa-apa ketika kejadian yang berlaku kurang daripada lima minit itu,” kata seorang pelanggan sebuah pasar raya di Tampoi di sini, yang menjadi saksi kejadian kedai emas dirompak lelaki bersenjata­kan pistol, malam kelmarin.

Saksi berusia 36 tahun itu berkata, dia dan keluargany­a berada di pasar raya berkenaan antara jam 7.15 malam hingga 7.40 malam untuk berbuka puasa di sebuah restoran berhampira­n kedai emas terbabit.

Katanya, kira-kira jam 7.35 malam, dia keluar dari restoran selepas selesai berbuka puasa dan menghampir­i kedai emas itu sebelum terdengar bunyi tembakan.

“Saya dengar dua bunyi tembakan, namun menjangkak­an ia bunyi mercun, tetapi terkejut apabila melihat pengawal keselamata­n kedai emas itu terduduk dan berlumuran darah dipercayai akibat ditembak.

“Saya lihat tiga lelaki bertopeng muka dan memakai topi keledar bersenjata­kan pistol dan tukul besi dengan dua daripadany­a memecahkan kaca menyimpan barang kemas, manakala seorang lagi berada di luar kedai menjaga keadaan ketika itu.

“Saya membawa keluarga berdiri jauh dari kedai emas itu dan orang awam yang berada di lokasi kejadian juga hanya berdiam diri dan tidak berani berbuat apa-apa kerana penjenayah mempunyai pistol,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam kejadian itu, pengawal keselamata­n itu terkena tembakan di bahagian paha, namun dilaporkan dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

“Suspek terdiri daripada empat lelaki yang belum dikenal pasti dan mereka bersenjata­kan sepucuk pistol dan tukul besi.

“Sejumlah barang kemas berjaya dilarikan, namun nilai kerugian belum dapat diketahui,” katanya.

Beliau berkata, selaras senapang patah milik pengawal keselamata­n itu turut dilarikan suspek dalam kejadian yang berlaku dalam tempoh dua hingga tiga minit itu.

Menurutnya, polis masih menjalanka­n siasatan dan Op Tutup serta Op Kesan dijalankan di seluruh negeri untuk mengesan suspek.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) dan samun berkumpula­n menggunaka­n senjata api,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia