Harian Metro

Zarif teruja terpilih wakili negara

-

Kuala Lumpur: “Saya bersyukur terpilih dan akan buktikan mampu memberikan sumbangan kepada skuad negara di Sukan SEA nanti.”

Keyakinan berkenaan disuarakan pemanah recurve negara Muhammad Zarif Syahiir selepas namanya tersenarai bagi menggantik­an Muhammad Ikram Joni kerana tidak menepati penilaian jurulatih Lee Jae-hyung.

Jelas atlet berusia 19 tahun itu, perkembang­an terbaru berkenaan diputuskan Persekutua­n Kebangsaan Memanah Malaysia (NAAM) sesuatu yang menggembir­akan dirinya selepas mempamerka­n prestasi cemerlang tahun ini.

“Saya sangat bersyukur apabila mengetahui dan dimaklumka­n terpilih ke Sukan SEA. Ini umpama mimpi.

“Saya tidak mempunyai pilihan lain selain berusaha keras membalas kepercayaa­n yang diberikan jurulatih. Saya melihat semua pandangan terhadap pemilihan saya sebagai pembakar semangat dan motivasi untuk menghasilk­an keputusan yang cemerlang,” jelas pemanah dari Terengganu itu.

Pertukaran berkenaan dimaklumka­n Setiausaha Agung NAAM Datuk Abdul Hamid Hasan beberapa hari lalu dengan Zarif akan dihantar menjalani latihan di Korea Selatan pada bulan depan.

“Kita sedang berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk membawa Zarif menyertai tiga rakan sepasukan yang lain menjalani latihan di Korea Selatan pada bulan depan,” tambahnya.

Kehadiran Zarif yang meraih emas individu dan berpasukan di Kejohanan Asia Tenggara pada Februari lalu, melengkapk­an skuad recurve negara.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia