Harian Metro

Curi ambulans

- Muhamaad Razis Ismail razis@hmetro.com.my

 Penjenayah pecah tingkap kenderaan di bengkel

Hanya dengan memecahkan cermin tingkap dan sedikit kepakaran MacGyver, sebuah ambulans milik Hospital Kuala Krai dilarikan dalam kejadian di sebuah bengkel kenderaan di Jalan Besar Guchil, di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku antara jam 2 hingga 6 pagi itu hanya disedari pemilik bengkel berkenaan pada 8.30 pagi kelmarin selepas ambulans itu yang diletakkan di hadapan premis hilang.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superinten­dan Abdullah Roning berkata, pemilik bengkel itu menerima ambulans jenis Toyota Hiace berwarna putih terbabit pada jam 2.30 petang, Selasa lalu untuk dibaiki berikutan masalah brek.

Bagaimanap­un katanya, sebaik dia tiba di bengkelnya pada keesokan hari, ambulans itu didapati sudah hilang.

“Dia kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

“Siasatan yang dijalankan mendapati lokasi kejadian ialah sebuah tempat letak kenderaan terbuka berhadapan bengkel itu.

“Modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan memecahkan cermin tingkap ambulans, hidupkan enjin dan melarikan kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam

Menurutnya, kerugian dianggarka­n berjumlah RM100,000 dan setakat ini, tiada saksi yang melihat kejadian.

“Pengadu tidak mengesyaki sesiapa kerana kejadian ini pertama kali berlaku di bengkelnya.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia