Harian Metro

PILU SETIAP 1 SYAWAL

- Muhamaad Razis Ismail dan Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Remaja terkenang saat keluarga maut ketika

beli kelengkapa­n sambut Aidilfitri

Rompin

Biarpun cuba dibuang jauh daripada ingatan, ketibaan 1 Syawal pasti akan mengembali­kan ingatan Mohd Sani Ruslan, 17, terhadap tragedi yang meragut nyawa ibu bapanya setahun lalu, ketika keluar membeli kelengkapa­n Aidilfitri.

Mohd Sani berkata, seolah-olah masih terngiang-ngiang di telinganya ajakan ayahnya Ruslan Musa dan ibu, Suhanna Salleh untuk membawa dia dan tiga beradik lain membeli kelengkapa­n hari raya.

Menurutnya, itulah kali terakhir mereka bersama-sama ibu dan ayah tercinta sebelum kedua-duanya terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 10, Jalan Pekan-Nenasi, Kampung Sungai Miang, Pekan, Pahang.

“Hanya adik perempuan kami yang mengikut ibu dan ayah keluar membeli kelengkapa­n hari raya. Saya, adik lelaki serta abang sulung tidak ikut. Kami berada di rumah, namun tidak sabar menunggu kepulangan ibu dan ayah,” katanya yang juga anak kedua.

Bagaimanap­un, kata Mohd Sani, segala-galanya musnah buat mereka empat beradik apabila dikejutkan berita pemergian ayah dan ibu mereka menghadap Ilahi dalam kemalangan ngeri jam 11 pagi pada 1 Julai tahun lalu.

“Ketika itu, lagi empat hari sebelum 1 Syawal. Apabila diberitahu, ayah dan ibu sudah tiada ia seperti dunia sudah berakhir buat kami kerana kehilangan tempat bergantung,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Mengimbau kejadian itu, Mohd

Sani yang bakal menduduki peperiksaa­n Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini memberitah­u, Aidilfitri kali ini hanya disambut ala kadar mereka empat beradik dengan mengharapk­an ihsan datuk dan nenek yang semakin dimamah usia.

Katanya, sumbangan baju raya dan beberapa kelengkapa­n lain turut diberikan penduduk kampung selain dia ada menjahit baju raya sendiri hasil kain pasang yang dipotong arwah ibunya tahun lalu.

“Kalau abang ada duit lebih dia akan belikan kami baju dan barangan lain, jika tidak kami adik-beradik hanya pakai baju mana yang ada,” katanya.

Selain Mohd Sani, tiga lagi anak Ruslan dan Suhanna ialah Mohd

Fazli, 20; Mohd Nur Iman, 13, dan Nur Aieshah Qalysha, 8, yang kini menetap di rumah arwah ibu bapa mereka.

Mereka turut dijaga datuk dan nenek yang tinggal bersebelah­an rumah mereka di Kampung Pantai Bernas, di sini.

Dalam tragedi itu, Ruslan dan Suhanna yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Citra meninggal dunia di tempat kejadian bersama anak saudara pasangan itu, Nurul Aliya Nafeesa Arman Shah, berusia 54 hari selepas bertembung dengan Proton Preve yang dikatakan hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentang­an.

Nur Aieshah Qalysha yang duduk di bahagian penumpang belakang pula parah selepas tulang paha sebelah kanannya patah memaksa dia berehat selama tiga bulan sebelum sembuh.

Sementara itu, Nur Aieshah Qalysha yang juga anak bongsu pasangan terbabit mengakui dia amat merindui ibu bapa mereka.

“Jika sesiapa ajak ke kubur ibu dan abah saya hendak ikut. Kerana saya terlalu rindukan mereka. Bila ke sana (tanah perkuburan) abang-abang akan suruh saya sedekahkan al-Fatihah untuk mereka,” katanya.

Biarpun mengakui masih trauma dengan kemalangan itu, Nur Aieshah Qalysha masih mampu tersenyum apabila diajukan pertanyaan mengenai kehidupann­ya kini yang banyak bermanja dengan aki (datuk) dan wan (nenek) yang sering datang memasak di rumah mereka.

“Hari raya kali ini saya dengan abang-abang. Dapat beraya dengan mereka saya sudah gembira,” katanya.

Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Jika sebelum ini empat beradik itu boleh hidup dengan bergantung kepada pendapatan ibu bapa mereka namun kini terpaksa berjimat-cermat selain mengharapk­an Mohd Fazli yang bekerja di sebuah pusat percutian di Pantai Bernas bagi menampung perbelanja­an mereka.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia