Harian Metro

Pemain tidak cergas punca tewas kepada Melaka

-

Kuala Lumpur: Faktor keletihan selepas pulang dari siri jelajah China pada minggu lalu antara punca mengapa skuad bawah 22 tahun negara (B-22) kendalian Datuk Ong Kim Swee dibelasah teruk 1-5 dalam aksi persahabat­an ketika menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat, kelmarin.

Jelas pengurus pasukan B-22, Datuk Wira Yusoff Mahadi, kekalahan besar itu bukan ukuran sebenar kekuatan anak didik Kim Swee sebaliknya percaya barisan pemain muda negara itu mampu beraksi lebih baik seandainya berada pada tahap kecergasan tertinggi.

“Pasukan B-22 ini nampak bagus dan banyak peningkata­n dari segi keserasian dan semangat pemain juga begitu tinggi.

“Tapi saya fikir, mungkin faktor kepenatan menjadi masalah utama kenapa mereka tidak dapat bertahan. Kita dapat tengok sebelum rehat terutama pada 20 minit pertama apabila kita mendominas­i perlawanan dan nampak permainan cukup kemas.

“Faktor kepenatan ini jelas mengganggu rentak permainan dan kita lihat selepas 30 minit aksi mereka mula merudum dan kesempatan itu mula diambil Melaka untuk menjaringk­an gol pertama.

“Bersambung separuh masa kedua, pemain sudah tidak mampu bertahan lagi. Namun saya yakin kita akan menjadi lebih mantap sebelum melangkah ke pusingan kelayakan Piala AFC (Konfederas­i Bolasepak Asia) bulan depan,” katanya yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Dalam aksi itu, pemain muda negara berjaya mengejutka­n pasukan tuan rumah seawal minit kedua menerusi jaringan penyerang Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Safawi Rashid.

Bagaimanap­un, R Surendran bijak menyamakan kedudukan pada minit ke-34 sebelum bekas penyerang Negeri Sembilan, Marco Simic meledak empat gol untuk meletakkan Melaka United di landasan baik di bawah kendalian jurulatih baru, Aduardo Almeida.

Sebelum ini, skuad B-22 negara mengharung­i tiga aksi persahabat­an di China dengan merekodkan hanya satu kemenangan ketika menewaskan Guangzhou Evergrande 3-0.

Dalam dua aksi lain, Malaysia tewas tipis 0-1 kepada pasukan B-22 China dan diikat 2-2 ketika berdepan skuad simpanan Guangzhou R&F FC.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia