Harian Metro

ERNY YAKIN HELANG MERAH BOLEH!

- Ferzalfie Fauzi ferzalfie@hmetro.com.my

Amat berpuas hati dan mengharapk­an ia berterusan pada pusingan kedua, itu sasaran yang diletakkan oleh penyokong setia Kedah, Lis Erny Kartiny Yahaya supaya pasukan kesayangan­nya mampu menambah koleksi trofi musim ini selepas muncul juara Piala FA.

Lis Erny yang berasal dari Sungai Petani mengakui skuad Hijau Kuning berjaya mengharung­i pusingan pertama Liga Super dengan amat baik dan memuaskan terutama selepas tonggak import sentiasa memberikan aksi konsisten.

“Persefaham­an mereka sangat jitu ketika bergabung dengan pemain tempatan hingga mampu menjulang prestasi Kedah pada tahap tertinggi. Sekarang mereka sudah menggondol dua trofi (Piala Sumbangsih dan Piala FA) dan saya berharap prestasi ini mampu dikekalkan untuk pusingan kedua Liga Super,” katanya.

Gadis berusia 27 tahun yang mesra dengan panggilan Erny juga mengakui jurulatih Nidzam Adzha Yusoff memerlukan sedikit masa selepas menggantik­an Tan Cheng Hoe.

“Beliau perlukan masa bagi merangka taktikalny­a sendiri seperti dilakukan oleh Cheng Hoe yang menerajui Kedah selama tiga tahun. Setidak-tidaknya Nidzam perlu mendalami, mengkaji kelebihan dan rentak pemain,” katanya.

Nidzam mula memegang jawatan ketua jurulatih Kedah selepas Cheng Hoe menggalas tugas lebih penting iaitu menjadi penolong kepada Nelo Vingada dalam skuad kebangsaan.

“Apa yang saya harapkan untuk pasukan Kedah walaupun dengan kehadiran jurulatih baru adalah mampu mengulangi sejarah meraih tiga piala musim ini. Ia bukan sesuatu yang mustahil kerana kami pernah melakukann­ya dua kali berturut-turut,” kata Lis Erny.

Jelasnya, untuk mencipta semula sejarah itu ia tidak boleh berlaku dengan sekelip mata tetapi memerlukan usaha gigih dengan pemain harus memperting­katkan lagi mutu permainan.

“Setakat ini pemain tempatan yang saya lihat amat menyerlah adalah Syazwan Zainon, Ifwat Akmal Che Kassim, Khairul Helmi Johari dan Rizal Ghazali. Bagaimanap­un, saya lihat Baddrol Bakhtiar dan Akram Mahinan agak kurang menyerlah kerana permainan mereka tidak konsisten.

“Bagi pemain import pula, Liridon Krasniqi, Ken Ilso dan Sandro da Silva beraksi dengan amat baik, kecuali Zac Anderson yang mengalami kecederaan,”

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia