Harian Metro

KUCING, AYAM PENEMAN AIDILFITRI

 Pasangan warga emas tiada anak hidup bertemanka­n kucing, ayam di rumah daif

- >2

“Jika ada yang sudi menjenguk, jenguklah, jika tidak saya masih ada kucing dan ayam menemani,” kata warga emas, Marlia Saeman, 62, di kediaman usangnya di Jalan Parit Raja Darat, di sini, semalam.

Marlia berkata, Aidilfitri yang bakal diraikan tidak bermakna lagi berikutan keadaan kesihatann­ya yang tidak mengizinka­n selain kehidupan bersama suami, Maliki Mahmod, 52, yang daif.

“Kami menyara hidup dengan menjual hasil kutipan pucuk paku liar di hutan berhampira­n dan dijual di sekitar pekan dengan pendapatan RM15 hingga RM20 sehari, malah adakalanya tidak sampai sebanyak itu.

“Hendak mengharapk­an anak, kami tiada anak. Kami ada terima bantuan bulanan RM300 sebulan sejak setahun lalu daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Tinjauan ke kediaman dihuni pasangan berkenaan mendapati keadaannya ibarat menanti masa menyembah bumi dan tidak selamat diduduki berikutan lantainya beralaskan tanah manakala dinding kayu mereput, selain atap zink bocor.

Malah, keadaannya sangat menyedihka­n kerana kotor, berbau selain diancam kehadiran binatang berbisa.

Katanya, keadaan rumah itu sangat tidak selesa bahkan mereka mengimpika­n untuk menghuni kediaman lebih sempurna.

“Jika dapat rumah saya bersyukur. Kalau hendak buat solat atau apa, kalau bersih senang sikit, tetapi kalau macam ini, hendak solat pun susah.

“Kadang-kadang kita sedih pun dalam hati saja, kalau orang datang beri rezeki, orang beri duit. Kita bukan harapkan apa daripada orang, cuma rumah, itu saja,” katanya.

Marlia berkata, dia menghidap kencing manis, jantung, semput, angin pasang di perut, sakit pinggang selain bakal menjalani pembedahan membuang tiroid di leher pada 6 Julai depan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat.

“Memikirkan hari raya dalam keadaan sakit pula, saya susah hati kerana hendak pergi hospital kerana semua menggunaka­n duit. Makan pun ada kalanya apa yang ada saja. Siapa hendak tolong kita lagi, terpaksa macam ini, anak sendiri tiada, kalau ada itu lainlah boleh tolong.

“Ini semua buat sendiri, tak macam orang lain, hendak minta tolong orang lain pun tiadalah. Masalahnya kita pun sakit, jalan pun tidak berapa kuat sangat. Tak kuat pun, kuatkan juga,” katanya.

Katanya, dia runsing memikirkan keadaan hidup mereka namun hanya dipendam dalam hati kerana tidak mahu dituduh bukan-bukan.

“Ada sebuah rumah sewa tidak jauh dari sini, tetapi agaknya memikirkan saya tidak mampu hendak membayar sewa berjumlah RM300 sebulan, pemiliknya tidak sudi (untuk menyewakan­nya).

“Jika dapat sewa, saya akan gunakan duit bantuan JKM itu untuk bayar sewa, makan saya pandai-pandailah cari,” katanya.

 ??  ??
 ?? FOTO: ESSA ABU YAMIN ?? BANGSAL buruk yang didiami Marlia dan Maliki.
FOTO: ESSA ABU YAMIN BANGSAL buruk yang didiami Marlia dan Maliki.
 ??  ?? KUCING menjadi peneman Marlia.
KUCING menjadi peneman Marlia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia