Harian Metro

Tindakan petugas Hospital Besut dipuji

-

Jertih: Jabatan Kesihatan Negeri memuji tindakan cekap petugas Hospital Besut, di sini, yang berjaya membongkar perbuatan seorang lelaki mendera anak tirinya berusia lima tahun hingga menyebabka­n kematian pada Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Dr Mohammad Omar berkata, petugas hospital berkenaan didapati menjalanka­n tugas mengikut prosedur operasi standard (SOP) jabatan dengan membuat laporan polis apabila mendapati wujudnya kes yang meragukan.

Menurutnya, ia adalah kes kedua petugas Hospital Besut berjaya mengesan kanak-kanak didera yang cuba disembunyi­kan keluarga ketika mendapat rawatan di hospital itu.

“Petugas hospital ada peraturan dan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, ia membolehka­n petugas hospital membuat laporan polis jika ada kes mencurigak­an ketika merawat mangsa,” katanya, di sini, semalam.

Dalam kejadian pagi Rabu lalu, Muhammad Hairil Amsyar Abdul Rahman dari FELDA Tenang, Hulu Besut disahkan meninggal dunia selepas dibawa bapa tirinya yang berusia 38 tahun ke Unit Kecemasan, Hospital Besut pada jam 3.30 pagi.

Lelaki itu mendakwa kanak-kanak berkenaan mengalami kecederaan selepas terjatuh dan ditindih motosikal ketika mereka berdua menunggang­nya.

Bagaimanap­un, pemeriksaa­n petugas hospital mendapati kematian kanak-kanak itu tidak konsisten dengan keterangan dibuat lelaki berkenaan.

Selain itu, pihak hospital juga mengesan terdapat kesan kecederaan lama dipercayai didera.

Proses bedah siasat yang dilakukan di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu pada keesokanny­a mengesahka­n kematian mangsa berpunca daripada hentakan kuat hingga menyebabka­n berlaku koyakan pada usus kecil kanak-kanak berkenaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia