Harian Metro

Lelaki menyamar polis kebas kasut

-

Kota Bharu: Dua lelaki sanggup menyamar sebagai pegawai polis sebelum melarikan kasut dan selipar milik seorang peniaga kasut di Wakaf Che Yeh, di sini pada 26 Jun lalu.

Bagaimanap­un, kedua-dua suspek yang juga penduduk tempatan berusia 40 dan 43 tahun itu berjaya ditangkap di sekitar Kota Bharu kira-kira jam 5.30 pagi, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, sebelum itu pada kira-kira jam 4.30 pagi, mangsa, 25, sedang menutup kedainya.

Mangsa kemudian didatangi dua lelaki yang memperkena­lkan diri sebagai Deputi Superinten­dan dari Bukit Aman dan inspektor dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan tanpa menunjukka­n kad kuasa.

“Salah seorang suspek memegang tangan mangsa untuk menyentuh objek menyerupai pistol yang diletakkan di bahagian belakang badannya bertujuan menakutkan­nya dan mangsa mendakwa sempat melihat satu objek hitam dan gari di belakang suspek itu.

“Suspek kemudian mengambil empat pasang kasut dan empat pasang selipar namun mangsa meminta bayaran barangan yang diambil itu sebelum seorang daripada suspek bertindak menampar pipi kiri mangsa dan terus melarikan diri.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, hasil maklumat, dua suspek itu berjaya ditahan pada Khamis lalu di sekitar Kota Bharu.

“Turut dirampas enam pil dan dua botol plastik lutsinar berisi cecair hitam disyaki dadah serta dua pasang kasut dan empat pasang selipar yang dilarikan sebelum ini,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia