Harian Metro

Dua penagih dadah ditahan curi ambulans

-

Krai: Ambulans Hospital Kuala Krai yang dilaporkan hilang di sebuah bengkel di Jalan Besar Guchil, di sini, sejak sembilan hari lalu dicuri dua penagih dadah yang terdesak untuk membeli bekalan dadah.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superinten­dan Abdullah Roning berkata, dua suspek berusia 35 dan 36 tahun ditahan bersama ambulans berkenaan di bengkel haram di belakang sebuah rumah di Labok, Machang, jam 4.30 petang Jumaat lalu.

“Berdasarka­n maklumat awam, polis menyerbu sebuah bengkel di Labok, Machang dan menemui semula ambulans berkenaan. Ketika ditemui, pelekat pada kenderaan itu sudah dibuang selain sudah diubah suai serta menggunaka­n nombor pendaftara­n palsu namun catnya masih dalam keadaan asal.

“Siasatan awal mendapati motif dua suspek mencuri ambulans untuk mengambil alat ganti sebelum menjualnya untuk mendapatka­n wang bagi membeli bekalan dadah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.

Menurutnya, dua suspek itu kini ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, sebuah ambulans milik Hospital Kuala Krai dilarikan dalam kejadian di sebuah bengkel kenderaan di Jalan Besar Guchil, di sini, pada 21 Jun lalu.

Kejadian berlaku antara jam 2 hingga 6 pagi itu hanya disedari pemilik bengkel berkenaan pada jam 8.30 pagi selepas ambulans itu yang diletakkan di hadapan premis hilang.

Pemilik bengkel itu menerima ambulans jenis Toyota Hiace putih terbabit sehari sebelum kejadian untuk dibaiki berikutan masalah brek.

Bagaimanap­un, pada keesokan hari, ambulans itu didapati hilang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia