Harian Metro

Dari JB ke Melaka derma darah

-

Melaka: Atas dasar kemanusiaa­n seorang lelaki yang mempunyai darah universal jenis ‘O’ sanggup memandu lebih dua jam dari Johor Bahru, Johor ke Hospital Melaka, di sini, untuk menjadi penderma.

S Sivam, 31, berkata, dia menjadi lebih terdorong untuk menderma selepas mengetahui kumpulan penderma dalam kalangan individu mempunyai darah O di negara ini kurang sedangkan ia amat diperlukan dalam menyelamat­kan nyawa pesakit.

Setakat ini, Sivam sudah enam kali menderma darah menerusi kempen dijalankan Kementeria­n Kesihatan Malaysia di beberapa lokasi dan berikrar akan meneruskan usaha murninya itu.

“Selepas melihat berita tersebar mengenai kekurangan darah di hospital ini (Hospital Melaka), saya tanpa berlengah memandu ke sini hari ini (kelmarin) untuk berbuat demikian.

“Bagi sesetengah orang menderma darah dianggap perkara biasa, namun mereka tidak sedar ia amat bermakna kepada pesakit yang memerlukan,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, sebaik tiba di hospital sudah ramai penderma yang menunggu giliran dan dia sendiri tidak kisah walaupun terpaksa menunggu lama.

Seorang lagi penderma Nurul Najihah Zaiunuddin, 23, berkata, menderma darah bukan setakat membantu menyelamat­kan nyawa pesakit sebaliknya ia adalah amalan baik untuk kesihatan kepada penderma.

“Minggu lalu, ada kempen derma darah di pasar raya tetapi disebabkan kekangan masa saya tidak dapat turut serta, jadi hari ini (kelmarin) selepas habis kerja saya terus bergegas ke hospital untuk menderma.

“Sudah empat kali saya menderma, selain itu saya juga berasa bangga dilahirkan dengan darah jenis O kerana ia universal dan boleh diterima oleh semua penerima berbanding darah jenis lain,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Transfusi Hospital Melaka, Dr Azlina Hamzah berkata, pihaknya berasa amat gembira kerana kehadiran penderma adalah diluar jangkaan.

Beliau berkata, kehadiran penderma itu disebabkan tular mengenai tabung darah Hospital Melaka yang kekurangan bekalan darah jenis O sejak beberapa hari lalu.

“Setiap hari termasuk Sabtu (kecuali Ahad) Unit Tabung Darah dibuka kepada umum. Namun tak sampai 20 penderma tampil setiap hari, tetapi selepas berita kekurangan darah tular jumlah itu meningkat secara mendadak,” katanya.

 ??  ?? SIVAM
SIVAM
 ??  ?? DR Azlina
DR Azlina

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia