Harian Metro

Azlina kerah kudrat

- Mohamad Zulhairie Manzaidi am@hmetro.com.my

 Ibu tunggal bertungkus-lumus sara dua anak

Ketiadaan tonggak keluarga tidak mematahkan semangat seorang wanita untuk mengisi kekosongan ditinggalk­an bekas suaminya itu dan membesarka­n dua anaknya yang masih kecil di Jalan Sekolah Cina, di sini.

Menurut Norazlina Mohd Nor, 39, dia melakukan pelbagai pekerjaan dengan tulang empat keratnya bagi menyara dua anak yang berusia sembilan dan tujuh tahun.

Katanya, selepas bercerai dengan suaminya, dia mengakui kehidupan hariannya terumbang-ambing selama hampir setahun.

“Sebelum ini, saya menetap di Negeri Sembilan dan sebaik saja berpisah dengan suami pada 2013, kami tiga beranak pulang ke Kelantan dan menyewa sebuah bilik di sini.

“Pada mulanya memang susah dan kehidupan kami ketika itu ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang kerana saya tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Macam-macam pekerjaan saya lakukan untuk pastikan ada duit bagi membeli makanan anak-anak. Pakaian sudah jadi perkara nombor dua kerana makanan yang perlu diutamakan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Norazlina berkata, apabila sudah dapat sesuaikan diri, dia mula mengambil upah mengasuh anak jiran dengan bayaran RM200 sebulan.

Selain itu, katanya, dia juga mengambil upah membuat kuih bagi menambah pendapatan berikutan kadar sewa bilik mencecah RM200.

“Saya menyewa ruangan di bawah rumah ini yang dijadikan bilik tidur kami, namun saya bimbang kerana ia tidak berpintu, sebaliknya, hanya ditutupi dengan tirai plastik.

“Garaj kereta berhadapan bilik pula saya manfaatkan sebagai ruang tamu dan dapur. Ia juga akan jadi tempat kami tiga beranak berteduh ketika hujan memandangk­an bumbung bilik sudah bocor dan mudah dimasuki air apabila hujan,” katanya.

Norazlina berkata, setiap hari, dia juga perlu berjalan kaki sejauh tiga kilometer untuk menghantar dan mengambil anaknya ke sekolah.

“Alhamdulil­lah, walaupun tiada kenderaan, namun anak-anak saya tidak pernah ponteng sekolah, malah mereka tetap bersemanga­t untuk ke sekolah.

“Mungkin mereka sudah terbiasa hidup begini dan tidak pernah merungut kekurangan yang dialami mereka,” katanya.

Sementara itu, pemangku Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Pasir Mas, Wan Kamarulzam­an Wan Mohd Nor berkata, pihaknya sudah meluluskan skim bantuan kanak-kanak kepada dua anak Norazlina.

Katanya, bantuan itu diluluskan sejak Ogos 2014 dan setiap anaknya menerima RM100 seorang.

“Kami sedang usahakan minta bantuan agensi berkaitan menyediaka­n rumah yang sempurna untuk keluarga ini,” katanya.

 ?? Norazlina ?? NORAZLINA di hadapan bilik sewanya di Jalan Sekolah Cina. Gambar kecil, bahagian dapur rumahnya.
Pada mulanya memang susah dan kehidupan kami ketika itu ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang kerana saya tiada pekerjaan tetap”
Norazlina NORAZLINA di hadapan bilik sewanya di Jalan Sekolah Cina. Gambar kecil, bahagian dapur rumahnya. Pada mulanya memang susah dan kehidupan kami ketika itu ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang kerana saya tiada pekerjaan tetap”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia