MASALAH TAYAR GUGAT HAFIZH
Pescao akui sukar ramal cengkaman tayar belakang Semuanya berada dalam keadaan terbaik kecuali tayar belakang namun saya tetap berasa lega kerana masih mampu untuk meraih mata dan memperbaiki kedudukan keseluruhan”
Hafizh Syahrin Abdullah
Sukar untuk meramalkan cengkaman tayar belakang menyebabkan pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah hanya menamatkan perlumbaan Grand Prix Jerman di Litar Sachsenring di tempat ke-11 dan meraih lima mata kelmarin.
Menurut pelumba PETRONAS Raceline Malaysia itu, ketika dia mula untuk melakukan pecutan dalam perlumbaan kelmarin tayar belakangnya sentiasa akan tergelincir.
“Ia memberi kesukaran buat saya ketika cuba untuk melakukan pecutan maksimum di selekoh kerana akan berlaku pergerakan luar biasa di bahagian belakang jentera. Saya beberapa kali hampir terjatuh ketika beraksi,” katanya yang kali ketiga menduduki tempat ke-11 musim ini selepas GP Amerika Syarikat dan Perancis.
Jelasnya, masalah yang dihadapi itu membuatkannya sukar untuk mengejar pelumba dan kelompok di depannya walaupun secara keseluruhan pelarasan jenteranya minggu lalu sangat baik.
“Semuanya berada dalam keadaan terbaik kecuali tayar belakang namun saya tetap berasa lega kerana masih mampu untuk meraih mata dan memperbaiki kedudukan keseluruhan,” katanya yang terkenal dengan gelaran Pescao.
Perlumbaan kelmarin menyaksikan Hafizh bermula dengan kurang meyakinkan dari petak ke-11, apabila tergelincir ke kedudukan ke-13 pada pusingan ke-14.
Bagaimanapun, dia berjaya bangkit semula selepas tujuh pusingan kembali ke kedudukan ke-11 dan berjaya mengekalkan kedudukan tanpa melakukan sebarang kesilapan hingga tamat saingan.
Pelumba berusia 23 tahun itu mengumpul 43 mata dan berada di kedudukan ke-11 selepas sembilan perlumbaan dengan pencapaian paling cemerlang adalah di GP Belanda apabila menduduki tempat kelapan.
Dalam perlumbaan kelmarin, Franco Morbidelli muncul juara buat kali kelima musim ini selepas mengatasi dua pecabar terdekatnya Miguel Oliveira dan Francesco Bagnaia.