JALINAN ERAT TAUKE AYAM KAMPUNG
menghimpunkan semua usahawan yang terbabit dalam industri ayam kampung sebagai satu platform untuk menjalin rangkaian sesama ahli.
Presiden PUSAKA
Ahmad Najib Habeb berkata, matlamat persatuan adalah untuk membina jaringan rangkaian perniagaan ayam kampung dalam kalangan ahli dan meningkatkan daya saing mengikut pengkhususan bidang masing-masing.
Katanya, walaupun pada awal penubuhannya hanya 40 usahawan menyertainya namun kini keahliannya mencecah lebih 200 ahli di seluruh negara.
“Melalui persatuan kami dapat memupuk semangat saling membantu dan mengeratkan kerjasama dalam kalangan ahli.
“Kebajikan setiap ahli juga dijaga selain melaksanakan aktiviti kemasyarakatan sebagai tanggungjawab sosial (CSR) persatuan,” katanya.
Ahmad Najib yang juga Pengarah Urusan Marzuq Bayu Sdn Bhd yang mengeluarkan Dedak Warisan khusus untuk ternakan ayam kampung berkata, PUSAKA turut menganjurkan kursus, program dan aktiviti berkaitan penternakan dan perniagaan ayam kampung untuk meningkatkan pengetahuan dan daya saing ahli.
Katanya, penubuhan PUSAKA turut mendapat sokongan padu agensi berkaitan yang sentiasa memberikan bimbingan kepada ahli melalui kursus berkenaan dengan penternakan ayam kampung.
Bagi memperluaskan industri penternakan ayam kampung di negara ini, Ahmad Najib berkata, terdapat enam rangkaian perniagaan ahli PUSAKA iaitu pembiakbaka dan hatceri, penternakan dan pengeluaran, pemprosesan, pemasaran, ubat-ubatan, pemakanan dan pengangkutan serta penyedia kursus.
“Rangkaian usahawan dalam kalangan ahli PUSAKA saling berkait antara satu sama lain yang menjadikan industri ternakan ayam kampung semakin berkembang.
“Bermula dari pembiak baka ayam kampung, menternak, memproses dan memasarkannya ia dilakukan rangkaian ahli PUSAKA menerusi pengkhususan dalam bidang masing-masing,” katanya.
Menurutnya, bagi menambah pengetahuan dan pengalaman ahli PUSAKA, mereka turut mengadakan lawatan ke ladang ternakan ayam kampung sama ada di dalam atau luar negara termasuk ke Vietnam dan Bogor, Indonesia.
Katanya, menerusi moto persatuan iaitu Eratkan Kerjasama Jayakan Impian matlamat penubuhan PUSAKA untuk menjalinkan rangkaian usahawan industri ayam kampung ini terus maju tidak tercapai sekiranya tiada kerjasama erat dalam kalangan ahlinya.
“Bagi ahli yang berkecimpung dalam bidang pembiak baka ayam kampung akan membekalkan kepada ahli yang menjadi penternak supaya mereka mudah mendapatkan bekalan.
“Saya sebagai pengeluar makanan ternakan pula akan membekalkan dedak khusus untuk ayam kampung kepada ahli supaya keberkesanannya dari segi tumbesaran dan kesihatan dapat dipantau bersama, begitu juga rangkaian pemprosesan dan pemasaran yang teratur,” katanya.
Ahmad Najib berkata, bagi memperkenal dan mempromosikan industri penternakan ayam kampung kepada orang ramai, PUSAKA sentiasa menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk menyakinkan mereka mengenai khasiat ayam kampung.
Katanya, khasiat ayam kampung berbanding ayam daging biasa tidak dapat disangkal lagi kerana ia lebih sihat dan terjamin kerana tidak diberikan makanan tambahan berlebihan, antibiotik dan toksin berbahaya yang tidak baik kepada manusia.
Selain itu, katanya, ayam kampung mempunyai kadar kolestrol yang rendah atas faktor baka dan pemakanan, malah terbukti rendah lemak serta mempunyai struktur daging lebih kenyal lagi enak.
“Mereka yang ingin mendapatkan maklumat persatuan dan industri penternakan ayam kampung boleh melayari laman web rasmi PUSAKA di alamat www.ayamkampung.com. my atau Facebook PUSAKA,” katanya.