Harian Metro

RAMADAN DI MESIR MERIAH

- Nor Hanisah Kamaruzama­n

Teruja menjalani ibadah puasa Ramadan lalu di Mesir, penuntut bidang pergigian dari Universiti Tanta ini berkongsi pengalaman selama tiga tahun di sana.

Menurut Nadiha Raub, 23, persiapan menyambut bulan penuh keberkatan di Mesir tidak kurang hebat seperti di Malaysia kerana majoriti masyarakat di sana beragama Islam.

“Beberapa minggu sebelum Ramadan kelihatan banyak kedai mula menjual perhiasan seperti lampu Fanous untuk digantung di kedai dan balkoni kediaman.

“Setiap tahun pasti ada dermawan yang menyediaka­n juadah berbuka untuk pelajar Malaysia dan penduduk setempat yang dikenali sebagai makanan ‘maidah’.

“Kami boleh pilih untuk berbuka di sana atau mengambil makanan yang siap dibungkus untuk dibawa pulang ke rumah,” katanya katanya yang berasal dari Kota Bharu.

Katanya lagi, di setiap blok perumahan terdapat surau kecil atau masjid yang disediakan tuan rumah.

“Apabila Ramadan tiba, surau dan masjid di sini meriah dan hidup dengan bacaan al-Quran yang dapat didengari di setiap rumah selain aktif dengan solat sunat Tarawih.

“Lorong dan jalan di sini juga terang dihiasi lampu hiasan sepanjang perjalanan. Jika di Malaysia terkenal dengan bazar Ramadan dengan beraneka juadah untuk berbuka, di Mesir mempunyai keistimewa­an tersendiri.

“Kalau di Malaysia popular dengan kuih-muih, di sini manisan adalah juadah penting untuk berbuka antaranya kue konafa, basbosa, halawiyat dan katayef,” katanya.

Nadiha berkata, waktu berbuka puasa juga hampir sama seperti di Malaysia.

“Waktu berbuka di sini sekitar 7 malam tapi waktu imsak lebih awal iaitu 3 pagi memandangk­an Ramadan tiba ketika musim panas. Jadi, kami berpuasa hampir 15 jam dengan suhu musim panas mencecah sehingga 43 darjah Celsius,” katanya.

Kata Nadiha, walaupun sudah empat tahun berada di Mesir dan peperiksaa­n akhir jatuh pada Ramadan, kebiasaann­ya penuntut Malaysia sempat menghabisk­an peperiksaa­n sebelum Aidilfitri.

Katanya, kuliah Ramadan turut diadakan setiap minggu di dewan pelajar bagi menghidupk­an suasana bulan mulia itu.

“Persatuan pelajar di sini turut mengagih makanan dan sedikit keperluan untuk berbuka kepada masyarakat setempat atau lebih dikenali sebagai ‘syantah Ramadan’.

“Selain itu, kami juga mengadakan rumah terbuka dan menjemput rakan untuk berbuka puasa di rumah.

“Rakan berbangsa Arab juga sering menjemput kami berbuka puasa bersama mereka dan keluarga,” katanya yang bakal menamatkan pengajian tahun depan.

Lorong dan jalan di sana sini dihiasi lampu hiasan

 ??  ?? NADIHA
NADIHA
 ??  ?? BERGAMBAR bersama rakan dari bidang pergigian.
BERGAMBAR bersama rakan dari bidang pergigian.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia