Gubahan bunga telur eksklusif
Letak jawatan pegawai perakaunan jana pendapatan melalui bakat dimiliki
Pada satu ketika dulu, pemberian bunga telur sebagai cenderahati terutama pada majlis perkahwinan seolah-olah sinonim dengan budaya masyarakat Melayu di negara ini.
Senario itu semakin berubah dari tahun ke tahun dan ramai yang mula beralih arah menjadikan pelbagai barangan lain sebagai cenderahati untuk diberikan kepada tetamu.
Namun, dapat dilihat sejak kebelakangan ini, budaya pemberian bunga telur mula mendapat sambutan kembali dengan rata-ratanya memilih bunga telur eksklusif dijadikan cenderahati tanda penghargaan.
Merebut peluang yang ada dengan mengilhamkan pelbagai rekaan dan gubahan bunga telur eksklusif pada harga berpatutan menjadikan perusahaan diusahakan Zaitulliza Muhammad,
46, mendapat sambutan pelanggan.
Menurut Zaitulliza, sejak kecil dia meminati bidang itu selain gemar melihat atau menyimpan apa juga jenis bunga atau bunga telur yang diterimanya.
“Saya memang peminat bunga. Jadi saya mula mempelbagaikan kemahiran sendiri dengan cuba hasilkan pelbagai gubahan bunga termasuk membuat bunga telur.
“Apabila menyedari ada bakat semula jadi, saya mula serius untuk berkecimpung dalam menghasilkan gubahan,” katanya.
Zaitulliza berkata, atas faktor itu juga, dia memilih meletak jawatan sebagai pegawai perakaunan di syarikat swasta bagi memberikan sepenuh fokusnya dalam bidang gubahan.
“Saya kemudian membuka sebuah kedai di Taman Sri Andalas, Klang dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk gubahan bunga telur, hantaran, dekorasi majlis dan perancang majlis.
“Konsep yang saya bawakan mudah iaitu akan cuba sedaya upaya menghasilkan sesuatu yang eksklusif namun pada harga mampu milik,” ujarnya.
UTAMAKAN ASPEK PENGURUSAN MASA
Bersikap tegas dalam soal pembahagian masa membuatkan Zaitulliza mampu menguruskan perniagaannya dengan baik tanpa sebarang masalah besar.
“Soal masa bukan suatu yang boleh dipandang mudah kerana sekiranya saya tersalah dalam perkara ini pasti semua tempahan pelanggan tidak dapat disiapkan dalam tempoh dijanjikan.
“Itu adalah perkara yang paling saya takuti kerana setiap tempahan pelanggan perlu disiapkan dalam tempoh tertentu tanpa boleh memberikan sebarang alasan. Dengan bantuan beberapa pekerja, saya akan fokus menyiapkan setiap tempahan lebih awal daripada tarikh sepatutnya,” katanya.
Menurutnya, dia tidak boleh bersikap sambil lewa kerana jatuh bangunnya perniagaan diusahakan adalah atas sikap dan usahanya sendiri.
“Selagi tidak siap tempahan saya rasa tidak tenang, pembuatan bunga telur ini pada hakikatnya adalah rumit kerana setiap bahagian itu perlu disiapkan satu persatu sebelum ia dicatumkan.
“Walaupun rumit, saya menganggapnya satu cabaran kerana setiap tempahan bunga telur diterima adalah berbeza dan ia memerlukan saya sentiasa kreatif bagi menghasilkan hasil terbaik,” ujarnya.
Katanya, dengan bantuan pekerja dan pembantu pemasaran, dia bersyukur kerana sehingga kini sambutan diterima masih menggalakkan walaupun tempahan bunga telur ini adalah bermusim.
“Saya menyediakan pelbagai pilihan bunga telur mengikut kehendak dan bajet pelanggan. Kebiasaannya saya akan berbincang dengan pelanggan untuk mengetahui apa yang diinginkan mengikut bajet mereka ada sebelum menentukan jenis bunga telur yang akan dibuat.
“Jika ada yang berkata harga sebatang bunga telur itu mahal namun bagi saya nilai sebenarnya adalah bergantung kepada hasil dikehendaki dan kaedah pembuatannya yang amat rumit setimpal dengan harganya,” katanya.
SAINGAN SIHAT DARIPADA PENGUSAHA LAIN
Persaingan yang sihat daripada ramai pengusaha bidang itu membuatkan Zaitulliza sentiasa mencari kelainan pada setiap produknya terutama bunga telur yang dihasilkan.
“Saya menganggap ini adalah satu persaingan yang sihat dan tidak sedikit pun mematahkan semangat saya walaupun pengusaha bidang ini semakin hari kian ramai bak cendawan tumbuh selepas hujan.
“Bagi saya setiap individu itu ada cara tersendiri. Mungkin jenis bunga telur atau gubahan itu sama namun teknik gubahan setiap individu itu pasti berbeza,” katanya.
Katanya, dia juga menanam keazaman untuk sentiasa kreatif serta inovatif dalam penghasilan produknya supaya nampak lain dan unik.
“Selain bunga telur, saya menyediakan perkhidmatan perancang majlis dan dekorasi yang juga memerlukan saya perlu sentiasa mencari idea kreatif.
“Seperti yang saya katakan tidak mudah untuk berjaya namun setiap dugaan yang datang akan saya jadikan sebagai pembakar semangat untuk lebih berjaya pada masa akan datang,” ujarnya.
Zaitulliza berkata, dia juga berharap usahanya itu membuahkan hasil diimpikan dan berbaloi dengan kepayahan dilalui.
“Saya sangat bertuah kerana dikelilingi insan yang memahami dan banyak membantu terutamanya suami dan anak. Disebabkan itu, saya terus kuat untuk memastikan segala apa yang saya lakukan ini tidak siasia,” katanya.