Harian Metro

Virus Japanese Encephalit­is pula

-

Kuching: Belum reda isu penularan wabak rabies di Serian, muncul berita yang menyatakan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dijangkiti virus Japanese Encephalit­is (JE).

Maklumat mengenainy­a tersebar di laman sosial sejak semalam susulan penyebaran yang dikeluarka­n Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan yang diberikan kepada guru besar sebuah sekolah rendah di Kota Samarahan bertarikh 4 Julai.

Kandungan surat berkenaan menyatakan mangsa dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 23 Jun lalu sebelum maklumat mengenai wabak berkenaan diberikan kepada Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan untuk tindakan lanjut.

Surat yang ditandatan­gani Pengawai Kesihatan Bahagian berkenaan memaklumka­n, Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan akan menjalanka­n aktiviti kawalan virus berkenaan dalam radius dua kilometer dari kediaman kanak-kanak termasuk di sekolahnya.

Antara kawasan yang terbabit dalam aktiviti kawalan virus berkenaan ialah Taman Sentoria, Taman Stakan Waja, Taman Stakan Jaya, Taman Stakan Perdana, Kampung Stakan Melayu, Kampung Pengkalan Kuap, Kuap Cina dan kawasan berhampira­n.

Aktiviti kawalan yang akan dijalankan merangkumi suntikan vaksin JE kepada penduduk yang berusia di bawah 15 tahun yang tidak menerima suntikan virus itu sebelum ini.

Sementara itu, usaha untuk mendapatka­n pengesahan mengenai kejadian terbaru ini daripada Jabatan Kesihatan Sarawak tidak diperoleh namun satu mesyuarat mengenai perkara itu diadakan semalam oleh jabatan berkenaan.

Difahamkan, Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Jamilah Hashim sudah menyerahka­n maklumat mengenai penyakit berkenaan kepada Kementeria­n Kesihatan di Putrajaya, petang semalam.

Minggu lalu, Sarawak digemparka­n dengan penularan wabak rabies atau penyakit anjing gila yang kini sudah meragut nyawa dua beradik di Serian, Selasa lalu.

Kini, hanya seorang budak perempuan berusia tujuh tahun dari Kampung Lebur, Gedung masih menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia