Harian Metro

HAFIZ TUNAI HAJAT ARIFUDDIN

Pemain bola sepak luang masa bertemu adik Arifuddin

- Nur Lela Zulkipli nurlela@hmetro.com.my

“Selepas melihat sendiri keadaan adik Arifuddin, timbul perasaan insaf supaya lebih mendekati Allah SWT dan bersyukur atas semua nikmat yang diberikan oleh-Nya.”

Itu kata pemain Perak, Mohd Hafiz Kamal, 27, yang meluangkan masa bertemu peminat ciliknya Muhammad Arifuddin Mohd Nor Hafis, di sini, semalam.

Muhammad Arifuddin yang berusia sembilan tahun disahkan menghidap kanser tisu tahap empat dan bakal kehilangan penglihata­n dalam masa terdekat berikutan sel kanser berkenaan cepat merebak.

Kanak-kanak itu sebelum ini menyatakan hasrat berjumpa idola bola sepaknya sebelum penglihata­nnya hilang dan impian itu ditunaikan bersama Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dan Al-Ikhsan.

Menurut Hafiz, sejak membaca kisah Mohammad Arifuddin di Harian Metro pada Rabu lalu, hatinya tidak tenang selagi tidak berjumpa peminatnya dan dia bersyukur dapat mencuri sedikit masa sebelum berangkat ke Jengka, Pahang bersama pasukannya.

“Saya ada suarakan hasrat kepada PAFA untuk berjumpa Muhammad Arifuddin dalam masa terdekat dan alhamdulil­lah hasrat saya tercapai hari ini (semalam).

“Tiada kata yang dapat menggambar­kan betapa terharunya saya apabila ada peminat cilik yang menyimpan hasrat untuk berjumpa saya,” katanya.

Mohd Hafiz dan Muhammad Arifuddin ditemukan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, di sini, yang turut disertai Pengurus Besar Al-Ikhsan Anwar Mamtaj yang memberi wang sumbangan RM500 kepada kanak-kanak itu dan barangan cenderahat­i.

Sementara itu, Muhammad Arifuddin yang tidak mampu bertutur dengan baik sempat mengucapka­n terima kasih kepada idolanya kerana sanggup berjumpa dengannya biarpun terikat dengan jadual perlawanan dan latihan yang padat.

Ibu kanak-kanak itu, Nor Azlin Mohamad, 28, berkata, dia bersyukur apabila PAFA menghubung­inya untuk menemukan Muhammad Arifuddun dengan pemain idolanya, sekali gus dapat menggembir­akan anak sulungnya.

“Doktor menasihatk­an supaya sedaya upaya gembirakan anak kerana ia boleh membantu meningkatk­an semangat untuk hidup dan melawan sel kanser,” katanya.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia