Harian Metro

‘Saya rela hilang nyawa’

Penyanyi rap didakwa larikan zuriat tegas anak enggan pulang ke pangkuan bekas isteri

- Georgetown

“Tolong jangan ketepikan hak saya sebagai ayah,” kata penyanyi rap yang didakwa bekas isterinya melarikan anak sehingga menjejaska­n nama baik diri dan keluarga.

Mahadhir Mohd Ismail, 35, kesal apabila kenyataan yang dilemparka­n bekas isteri itu sekadar mahu mencari simpati dan cuba menyalahka­n dirinya semata-mata.

“Saya tidak pernah melarikan anak seperti didakwa, malah semuanya bersebab kerana Benyamin Rafael yang berusia enam tahun enggan pulang ke pangkuan ibunya, Balqis Nordin, 26, disebabkan takut.

“Tidak perlu tuding jari kepada saya kerana masing-masing pernah melakukan kesilapan, malah saya tidak perlu aibkan sesiapa kerana banyak perkara tidak betul.

“Biarlah hanya saya tahu apa sebenarnya berlaku. Sebagai bapa, lebih baik dan selamat jika Benyamin ada bersama saya kerana itu pilihannya dan bukan dipaksa sesiapa,” katanya, kelmarin.

Mahadhir berkata, orang luar nampak kesalahan dirinya, tetapi ramai tidak tahu apa terjadi dan mereka mengecam apabila mendengar daripada sebelah pihak saja.

Menurutnya, dia tidak menafikan pernah terbabit penyalahgu­naan dadah, namun semua itu kisah silam yang sudah berakhir dan kini masih dalam pengawasan polis serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Saya tidak berniat mahu aibkan sesiapa, namun saya perlu jawab untuk bersihkan nama baik diri serta keluarga yang malu dengan apa yang dilemparka­n bekas isteri,” katanya.

Menurutnya, beberapa laporan polis dibuat termasuk bukti dan rakaman video, selain turut berbincang dengan peguam untuk tindakan lanjut demi anaknya.

“Saya rela hilang nyawa daripada hilang anak yang amat memerlukan bapa berbanding ibunya. Saya juga risau akan keselamata­n Benyamin apabila berada bersama bekas isteri,” katanya.

Harian Metro 8 Julai lalu melaporkan, seorang pemilik salun mendakwa anak lelakinya, Benyamin Rafael tidak pulang ke rumah sejak hampir seminggu selepas diambil bekas mentua di rumahnya di Bayan Baru.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia