Harian Metro

5 cucu yatim mula terima hakikat

- Siti Nadzirah Che Mud am@hmetro.com.my

 Keluarga datuk ambil masa pulihkan semangat selepas tragedi kemalangan April lalu

Ketika tragedi itu baru berlaku, lima beradik yatim piatu ini kerap memanggil dan mencari ibu bapa mereka, malah turut terbawa-bawa hingga ke dalam mimpi.

Irdina Aliah Mohd Noor, 11, dan empat adiknya, Insyirah Aliah, 10, Muhamad Adib Mustakim, 8, Imanina Aliah, 6, dan Muhamad Adib Mirza, 5, nyata sukar untuk menerima hakikat kehilangan insan disayangi mereka dalam sekelip mata.

Bapa mereka Asisten Superinten­dan Mohd Noor Mat Yaub, 38, yang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling dan ibu, Suriya Abdul Rahman, 37, meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan di Kampung Teluk Teduri, Jalan Baru Kupang-Baling, Kedah pada 18 April lalu.

Ketika kemalangan berlaku, mereka turut berada di dalam kereta Perodua Myvi bersama ibu bapa namun hanya cedera.

Datuk lima beradik itu, Abdul Rahman Daud, 62, berkata keluargany­a mengambil masa beberapa bulan untuk memulihkan semangat cucunya dan membantu mereka melupakan kesedihan akibat kehilangan ibu bapa yang disayangi. “Memang awalnya sukar kerana kami juga turut bersedih dengan kehilangan arwah. Manakala, cucu saya pula masih kecil dan mencari ibu bapa mereka hingga tidur pun mereka masih bertanya, ada yang bawa ke mimpi.

“Boleh dikatakan setiap malam keadaan itu berlaku sehingga saya, isteri dan anak-anak tambah sedih serta emosi melihat keadaan mereka.

“Alhamdulil­lah, berkat kesabaran dan dimaklumka­n kejadian sebenar, hari ini mereka sudah boleh menerima apa yang berlaku dan kembali ceria. Anak saya (Suzila, 28) juga bertanggun­gjawab menjaga keperluan mereka kerana dia rapat dengan kelima-limanya terutama yang bongsu,” katanya ketika ditemui di IPD Tanah Merah, di sini, semalam.

Terdahulu, Abdul Rahman mewakili cucunya menerima sumbangan Persatuan Pegawai-Pengawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) kepada lima beradik berkenaan yang disampaika­n Timbalan Presiden RESPA, Datuk Mohd Nawawi Ismail

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Tanah Merah Deputi Superinten­dan Suzaimi Mohamad.

Abdul Rahman berkata, pada Aidilfitri lalu, dia turut membawa kelima-lima cucunya menziarahi pusara arwah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Buluh, Gual Ipoh di sini.

Katanya, tiga daripada cucunya itu juga sudah memulakan persekolah­an di Sekolah Kebangsaan Gual Ipoh, di sini, sejak minggu lalu.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin dengan nasib cucu saya termasuk RESPA. Insya-Allah, sumbangan ini akan dimanfaatk­an sepenuhnya untuk mereka,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nawawi berkata, pihaknya menyumbang RM26,220 dalam bentuk simpanan Amanah Saham Didik (ASD) untuk kelima-lima anak Allahyarha­m Mohd Noor.

Katanya, inisiatif itu diambil sebagai tanda keprihatin­an terhadap nasib lima beradik terbabit walaupun arwah bukan ahli RESPA.

“Pada dasarnya peranan RESPA adalah menjaga kebajikan ahli tetap sahaja, namun kami bersimpati dengan nasib mereka dan berharap sumbangan ini dapat membantu meringanka­n beban,” katanya.

 ?? FOTO: SITI NADZIRAH CHE MUD ?? MOHD Nawawi (tengah) menyerahka­n sumbangan kepada lima beradik di Tanah Merah.
FOTO: SITI NADZIRAH CHE MUD MOHD Nawawi (tengah) menyerahka­n sumbangan kepada lima beradik di Tanah Merah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia