Harian Metro

Kembali bersekolah

-

 Empat beradik teruskan pembelajar­an selepas diterima masuk ke RAYMPSKDA

“Kami mahu jadi insan berilmu dan berguna kepada masyarakat dan akan belajar bersungguh-sungguh. Sebagai anak sulung, saya berjanji kami adik-beradik akan memberi kerjasama sebaik-baiknya kepada pengurusan rumah anak yatim ini,” kata Muhammad Shah Mikail Shahbani, 15.

Lebih setahun tidak bersekolah kerana kesempitan hidup, dia bersama dua adiknya, Muhammad Shah Amani, 13, dan Muhammad Shah Irfan, 11, akhirnya bersekolah semula pada 1 Julai lalu selepas diterima masuk ke Rumah Anak Yatim/Miskin Pertubuhan Sinar Kasih Darul Aitam (RAYMPSKDA) di Kampung Kuala Samak, Kuala Ketil, dekat sini, pada 14 Jun lalu.

Muhammad Shah Mikail kini belajar di tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Puteri Kuala Ketil (SMKTPKK), Muhammad Shah Amani (Sekolah Tahfiz Raudhatul Jannah, Sik) dan Muhammad Shah Irfan (Sekolah Model Khas Baling (SMKB) dan tinggal di asrama).

Adik bongsu mereka, Yusrina Husna, 7, yang terlewat enam bulan memasuki persekolah­an tahun satu kini belajar di Sekolah Kebangsaan Kuala Samak.

Muhammad Shah Mikail bersyukur di atas usaha pengurusan rumah anak yatim itu yang mengambil mereka tinggal di rumah kebajikan itu dan berjanji akan belajar bersungguh-sungguh demi masa depan dan sebagai membalas budi.

Katanya, selepas kematian bapa, mereka tinggal berpindah-randah mengikut ibu, Kamaruliza­wati Kamaruddin, 39, yang kini berkerja sebagai pembantu kedai di sebuah kedai makan berhampira­n kompleks beli-belah Amanjaya Mall Sungai Petani.

“Sepanjang tidak bersekolah, kami hanya duduk di rumah dan tidak dibenarkan keluar,” katanya.

Sementara itu, Penyelia RAYMPSKDA, Mohamad Rosli Yahaya, 42, berkata, pihaknya simpati dengan nasib empat beradik itu sebelum mengambil mereka tinggal di rumah anak yatim itu.

Menurutnya, Muhammad Shah Mikail hanya berpeluang bersekolah di tingkatan dua selama empat bulan di Sekolah Menengah Taman Ria Sungai Petani pada 2016 sebelum berhenti.

“Muhammad Shah Amani bersekolah setakat tahun enam di Sekolah Kebangsaan Bandar Puteri Jaya manakala Muhammad Shah Irfan pula di tahun empat sekolah sama.

“Saya menerima mereka menerusi bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Kuala Muda dan tidak mahu masa depan mereka gelap lantaran tiada pelajaran dan penjagaan yang sempurna.

“Pejabat Pendidikan Daerah Baling/Sik juga membantu mereka menyambung persekolah­an,” katanya.

Beliau berkata, difahamkan, ibu empat beradik itu pernah terbabit dalam kemalangan jalan raya di Sungai Petani selepas suaminya meninggal dunia tujuh tahun lalu dan mengalami tekanan perasaan.

 ?? FOTO: SABARUDIN ABD GHANI ?? MOHAMMAD (kanan) menghantar tiga daripada empat beradik yatim ke Sekolah Kebangsaan Taman Ria, Sungai Petani.
FOTO: SABARUDIN ABD GHANI MOHAMMAD (kanan) menghantar tiga daripada empat beradik yatim ke Sekolah Kebangsaan Taman Ria, Sungai Petani.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia