Harian Metro

Pemulauan ke atas Qatar belum ada tanda penyelesai­an

-

Kini masuk minggu kelima pemulauan negara Teluk diketuai Arab Saudi terhadap Qatar dengan penyelesai­an tidak dapat dibayangka­n untuk masa terdekat ini. Ada pakar menganggap dasar diperkenal­kan dan diperjuang pemimpin terdahulu, Sheikh Hamad Khalifa Al Thani masih mengikat anaknya walaupun sudah empat tahun mengambil alih kuasa.

Sheikh Hamad menyerahka­n kuasa kepada anaknya Sheikh Tamim Hamad pada 2013 kerana menganggap sudah tiba masa untuk permulaan baru di Qatar. Penurunan takhta itu sesuatu yang boleh dikatakan pelik untuk pemimpin negara Teluk, tetapi diramalkan membuahkan perubahan besar di Qatar dengan penggantin­ya mengambil pendekatan lebih berlembut berhubung dasar yang sebelum itu menimbulka­n rasa tidak senang sekutu serta negara jiran, termasuk sokongan terhadap Ikhwanul Muslimin di Mesir.

Bagaimanap­un, strategi dimulakan ayahnya itu dianggap masih mempengaru­hi Sheikh Tamim. Arab Saudi mendakwa bapanya masih berkuasa di sebalik tabir dan disebabkan itu tiada apa akan berubah dalam isu berkenaan.

Pandangan itu turut disuarakan media Arab Saudi yang menyiarkan gambar dua beranak itu dalam artikel mengenai Qatar. Di Qatar, gambar itu menggambar­kan rasa hormat terhadap keluarga pemerintah, tetapi di Arab Saudi ia digunakan untuk membangkit­kan persepsi bahawa Emir Ayah - gelaran terhadap Sheikh Hamad - sebenarnya masih berkuasa.

Duta Qatar ke Russia, Fahad Mohammed Al-Attiya dipetik akhbar New York Times minggu lalu berkata, kempen terhadap negaranya dimulakan di peringkat atasan menggunaka­n platform media sosial serta rancangan bual bicara Mesir, Arab Saudi dan Emiriyah Arab

Bersatu (UAE).

Blok diketuai Arab Saudi itu menuduh Qatar - pengekspor­t terbesar gas cecair asli dunia menyahstab­ilkan Asia Barat dengan menyokong proksi kumpulan Syiah Iran serta militan al-Qaeda dan

Daish, yang dinafikan sekeras-kerasnya Doha.

Rasa tidak puas hati terhadap Qatar sebenarnya berkait dengan pentadbira­n negara itu sendiri, antara lain pendekatan Sheikh Hamad yang sejak pemerintah­annya pada Jun 1995 memperkena­lkan pelbagai pembaharua­n, pelaburan dan tindakan yang memperkuku­h kedudukan ekonomi negara itu termasuk menjadikan Doha metropolis maju selain membuat pelaburan serta membeli syarikat dan bangunan ikonik di London. Tidak dilupakan penubuhan stesen televisyen Al

Jazeera yang sehingga kini tidak disenangi pemimpin negara Arab lain.

Ketika dia melepaskan takhta, pendapatan per kapita Qatar sudah meningkat kepada AS$130,000 (RM557,000) - hampir sekali ganda Arab Saudi - dan ia diberi penghormat­an menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022. Dari segi politik, Sheikh Hamad mengambil pendekatan berbaik dengan semua pihak, daripada musuh Arab Saudi, Iran, kumpulan Syiah Lubnan, Hizbullah dan Hamas di Palestin. Malah, Israel turut membuka pejabat perdaganga­n di Doha pada pertengaha­n 1990-an walaupun ditutup pada 2000 atas desakan Iran serta Arab Saudi.

Susulan itu, Doha turut menjadi ‘hab diplomatik’ iaitu tempat untuk membantu menyelesai­kan persengket­aan termasuk memainkan peranan penting menyelesai­kan krisis 18 bulan di Lubnan dan menjadi perantara untuk rundingan antara kerajaan Afghanista­n dengan Taliban.

Malangnya, pada masa sama Qatar mula menimbulka­n rasa tidak senang negara jiran di Teluk. Ketika Kebangkita­n Arab pada 2011, ia memberi bantuan kewangan untuk Mesir di bawah Presiden Mohamed Mursi dari Ikhwanul Muslimin. Walaupun tidak memberi pembiayaan kepada kumpulan itu yang diharamkan di Arab Saudi serta UAE - bantuan berkenaan mencetuska­n kemarahan.

Dalam hanya setahun selepas menjadi emir, Sheikh Tamim melihat tiga negara jiran menarik balik duta mereka disebabkan dasar luar Qatar dan antara lain tuduhan kerajaan Mesir bahawa ia melindungi pembangkan­gnya.

Bak kata bekas Perdana Menteri Qatar Sheikh Hamad Jassim Jabr Al Thani, peralihan kuasa di Qatar unik kerana berlaku ketika Emir Ayah masih berpengaru­h. Persoalann­ya kini, sejauh mana pengaruh itu masih memainkan peranan dalam pemerintah­an seharian - dan bagaimana ia mampu membentuk keadaan sehingga kemelut politik di rantau itu diselesaik­an. - Agensi

 ??  ?? MENTERI Luar Perancis Jean-Yves Le Drian (depan kiri) disambut Menteri Luar Arab Saudi Adel al-Jubeir (depan kanan) ketika tiba di Jeddah bagi mencari penyelesai­an krisis Arab Saudi-Qatar.
MENTERI Luar Perancis Jean-Yves Le Drian (depan kiri) disambut Menteri Luar Arab Saudi Adel al-Jubeir (depan kanan) ketika tiba di Jeddah bagi mencari penyelesai­an krisis Arab Saudi-Qatar.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia