Harian Metro

Chelsea ikat Bakayoko lima tahun

-

London: Chelsea melengkapk­an pembelian pemain tengah kebangsaan Perancis, Tiemoue Bakayoko dari AS Monaco, umum kelab juara Liga Perdana itu kelmarin.

Pemain berusia 22 tahun itu menyertai Chelsea kendalian Antonio Conte menerusi kontrak lima tahun dengan bayaran dilaporkan £39.7 juta (RM223 juta) sesudah membantu kelab itu memenangi Ligue 1 musim lalu.

“Saya amat gembira untuk berada di sini dan menyertai pasukan hebat ini,” kata Bakayoko.

“Saya membesar menyaksika­n Chelsea. Menandatan­gani perjanjian satu perkara biasa buat saya kerana ia kelab yang saya terlalu sayang sejak zaman kanak-kanak lagi.

“Kini saya tidak sabar untuk meningkat di bawah kendalian jurulatih fantastik dan di samping rakan sepasukan yang hebat.”

Chelsea mungkin terpaksa melupakan pemain baru mereka itu pada awal musim kerana Bakayoko dijangka tidak beraksi sekurang-kurangnya enam minggu selepas menjalani pembedahan lutut hujung musim lalu.

Bakayoko seorang daripada bintang pasukan remaja Monaco di bawah kendalian Leonardo Jardim yang mengejutka­n Paris Saint-Germain untuk menjulang kejuaraan Perancis Mei lalu, selain layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara.

Pembelian itu melegakan pengurus Chelsea, Conte, sesudah beliau terlepas khidmat bekas penyerang Everton, Romelu Lukaku yang menyertai Manchester United. - AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia