Harian Metro

Tunggakan gaji selesai hujung bulan ini

-

Kuala Lumpur: Penderitaa­n dihadapi tiga bekas jurulatih skuad kebangsaan yang dipecat pada hujung Mac lalu akan berakhir apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyelesai­kan isu tuntutan baki gaji mereka hujung bulan ini.

Setiausaha Agung badan induk itu, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, FAM amat komited untuk menyelesai­kan masalah itu dan mengakui sudah menemui formula terbaik bagi mengatasi kontrovers­i itu.

“Isu ini, Insya-Allah saya akan selesaikan sebelum hujung bulan ini. Saya sudah bercakap dengan Presiden PJBM (Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia), B Sathianath­an dan jurulatih Amin (Aminuddin Hussin) untuk membincang­kan perkara ini.

“Seramai tiga orang saja kerana dua lagi sudah bekerja bersama pasukan baru. Malah, saya juga sudah selesaikan dengan Tunku Presiden FAM (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) yang mahu isu itu diselesaik­an,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka pasukan bola sepak wanita dan futsal di sini, semalam.

Menerusi pendedahan Arena Metro minggu lalu, beberapa bekas jurulatih FAM mempersoal­kan layanan berat sebelah organisasi itu terhadap mereka berbanding bekas ketua jurulatih B-22 dari Jerman, Frank Bernhardt yang berjaya meraih pampasan penuh daripada badan induk itu.

Mereka dipecat pada hujung Mac lalu dengan hanya menerima tiga bulan pampasan berbanding baki kontrak antara tujuh hingga sembilan bulan.

Lima jurulatih tempatan yang menuntut hak mereka bekas penolong jurulatih skuad senior, Hassan Sazali Mohd Waras, bekas jurulatih kecergasan skuad senior, Reuben Jude, bekas penolong jurulatih B-22, Aminuddin Hussin, bekas jurulatih penjaga gol B-22, Megat Amir Faizal Ibrahim dan bekas jurulatih kecergasan B-22, Mashidee Sulaiman.

“FAM tak kejam dan kami dah bayar ikut peraturan tapi untuk perbincang­an lanjut kita boleh bincang. Ketika ini Amin dan Hassan sedang ikuti kursus kejurulati­han anjuran FAM di Langkawi, saya jangkakan hujung bulan ini masalah itu akan dapat diselesaik­an,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia