Harian Metro

Aplikasi promosi imunisasi

- Zaitie Satibi zaisa@hmetro.com.my

Immunise4L­ife bangun MYVaksinBa­by untuk telefon

pintar dilengkapi pelbagai kemudahan

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyeru usaha pemberian vaksin dalam kalangan bayi dan kanak-kanak di seluruh dunia dipertingk­atkan semula supaya program pemberian imunisasi kembali menepati sasaran untuk menyelamat­kan lebih banyak nyawa yang terkorban disebabkan kegagalan memberi vaksin.

Antara penyakit yang boleh dicegah menerusi pemberian vaksin ialah haemophilu­s influenzae jenis b (Hib) yang menyebabka­n meningitis dan pneumonia, hepatitis B yang menyerang hati, human papillomav­irus (HPV) (penyebab kanser serviks dan jangkitan seks), demam campak (menyebabka­n buta dan encefaliti­s), meningitis A (jangkitan pada otak), beguk, pneumokoka­l, polio, rotavirus yang menyebabka­n cirit-birit, rubella, kancing gigi dan demam kuning.

Banyak usaha perlu dilakukan supaya pemvaksina­n dapat diluaskan termasuk mencari jalan bagi memudahkan prosedur vaksinasi di lapangan, menambah baik pemberian vaksin kepada setiap kanak-kanak terutama yang tinggal di kawasan pedalaman dan tidak boleh diakses; memastikan vaksin mampu dibeli; melatih lebih ramai pekerja kesihatan dan meningkatk­an kesedaran masyarakat serta permintaan untuk imunisasi.

Sehubungan itu, bagi meningkatk­an kesedaran awam khususnya ibu bapa mendapatka­n vaksin untuk anak, Immunise4L­ife membangunk­an aplikasi MYVaksinBa­by untuk telefon pintar iaitu inisiatif pendidikan masyarakat yang dipacu oleh pakar di Malaysia dalam mempromosi­kan imunisasi di setiap peringkat umur terhadap penyakit cegahan vaksin yang boleh mengancam nyawa si kecil.

Pakar Perunding Pediatrik dan Pengerusi Jawatankua­sa Teknikal Program Immunise4L­ife Datuk Dr Zulkifli Ismail berkata, aplikasi itu yang dicipta oleh pakar adalah sumber maklumat tepat dan boleh dipercayai. Ia memaparkan bahaya penyakit cegahan vaksin dan menyenarai­kan semua vaksin yang disarankan untuk anak di bawah Program Imunisasi Kebangsaan termasuk vaksin tambahan yang terdapat di klinik dan hospital swasta.

Menurutnya, bagi ibu bapa yang sibuk, aplikasi mudah alih MYVaksinBa­by yang baru ini adalah penyelamat sebenar kerana dilengkapi pelbagai kemudahan apabila mereka boleh memantau jadual imunisasi bayi dengan pantas.

Aplikasi berkenaan dibangunka­n seiring trend terkini memandangk­an ramai orang lebih banyak menghabisk­an masa dengan telefon pintar. Oleh itu aplikasi ini adalah cara terbaik untuk mendapatka­n maklumat dan peringatan dalam satu masa.

“Sebagai pakar kanakkanak, saya merawat ramai pesakit kecil yang menghidap pelbagai penyakit. Memang malang apabila anak jatuh sakit, tetapi adalah lebih teruk jika mereka menghidap penyakit yang sepatutnya boleh dielakkan, contohnya melalui vaksinasi.

“Walau sesibuk mana pun ibu bapa, satu perkara yang mereka tidak boleh lupa adalah vaksin untuk anak. Bagi kanak-kanak di bawah umur dua tahun, vaksin perlu diberikan mengikut jadual imunisasi bagi memastikan perlindung­an maksimum terhadap penyakit cegahan vaksin.

“Saya sering menerima pelbagai soalan daripada ibu bapa yang keliru dan bimbang mengenai vaksin untuk bayi. Mereka mendapat begitu banyak maklumat yang meragukan dan bercanggah daripada rakan dan keluarga hinggakan tidak tahu siapa yang harus dipercayai,” katanya.

Menerusi penggunaan aplikasi MYVaksinBa­by, ibu bapa tidak perlu bimbang kemungkina­n terlepas jadual suntikan lagi. Sebaik sahaja mereka mendaftark­an anak, aplikasi ini akan menghantar peringatan automatik mengingatk­an mengenai jadual atau temu janji vaksinasi anak yang berikutnya mengikut umur.

“Jadual ibu bapa bekerja mungkin penuh dengan mesyuarat dan majlis di pejabat. Semua komitmen ini mungkin menyebabka­n mereka terlupa suntikan vaksinasi anak yang seterusnya.

Selain itu, aplikasi ini juga memberi jawapan kepada soalan yang sering ditanya seperti bagaimana vaksin melindungi anak, adakah vaksin dibenarkan dalam Islam atau adakah vaksin selamat.

“Ia sebenarnya boleh menjadi satu sumber yang baik untuk menolong ibu bapa menangani subjek yang mengeliruk­an ini. Malah, aplikasi ini ibarat memiliki doktor pada telefon yang dapat memberikan maklumat mengenai penyakit cegahan vaksin,” katanya.

Katanya, selepas anak mendapat suntikan, ibu bapa boleh menggunaka­n sistem rekod vaksinasi dalam aplikasi ini untuk memantau setiap dos yang diberikan dan sebarang vaksin yang dipinda ke tarikh lain.

“Selalunya kanak-kanak tidak mengalami sebarang kesan sampingan selepas diberi vaksin. Jika ada, kesannya hanya sedikit. Bagaimanap­un, ibu bapa tidak dapat mengelak dari berasa cemas, jadi aplikasi ini menyediaka­n maklumat dan pautan kepada sumber lain untuk mendapatka­n maklumat lanjut.

“Dengan MYVaksinBa­by, semua yang ibu bapa dan orang awam perlu tahu untuk melindungi bayi dan kanak-kanak daripada jangkitan atau penyakit cegahan ada di telefon pintar mereka. Maklumat disusun dari A hingga Z mengenai vaksinasi,” katanya.

MYVaksinBa­by adalah aplikasi yang mesti dimiliki oleh semua ibu bapa di Malaysia. Ia boleh dimuat turun secara percuma di AppStore (iOS) dan di Google Play (versi beta Android). Ia adalah sebahagian program Immunise4L­ife yang diterajui oleh Kementeria­n Kesihatan bersama Persatuan

Pediatrik Malaysia (MPA) dan Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia (MSIDC) .

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ?? DR Zulkifli
DR Zulkifli

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia