Harian Metro

Pantau, saring individu masuk Kelantan

-

Tumpat: Jabatan Kesihatan negeri Kelantan (JKNK) akan menjalanka­n pemantauan atau saringan terhadap individu yang masuk ke negeri ini terutama dari Sarawak untuk mengelakka­n jangkitan penyakit anjing gila atau rabies.

Timbalan Pengarah Kesihatan Awam Jabatan Kesihatan negeri Dr Junaideen Mohamad Zain berkata, pemantauan itu akan dilakukan di semua pintu masuk di negeri ini termasuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamata­n (ICQS) di Bukit Bunga, Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor.

Katanya, bagaimanap­un sehingga kini tiada kes penyakit anjing gila dilaporkan di negeri ini.

“Kita akan jalankan ujian kesihatan kepada orang ramai yang baru pulang atau penduduk dari Sarawak yang datang ke negeri ini. Pada masa sama, kita nasihatkan individu yang pulang dari Sarawak untuk jalankan pemeriksaa­n di hospital dan klinik berhampira­n.

“Ia sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan negeri ini bebas daripada virus rabies,” katanya selepas majlis Menandatan­gani Memorandum Persefaham­an (MoU) Peraturan Kesihatan Antarabang­sa 2005 (IHR 2005) di ICQS Pengkalan Kubor, di sini, semalam.

MoU itu ditandatan­gani antara Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Tumpat dengan 12 agensi yang terbabit secara langsung dengan kawalan pintu masuk sempadan.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Kelantan Akhtarulla­q Nik Abdul Rahman, Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Din Ahmad dan Pengarah Jabatan Pengangkut­an Jalan Kelantan Mahassan Mustapa.

Menurutnya, pihaknya turut menyediaka­n vaksin di empat hospital iaitu di Tanah Merah, Tumpat, Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu dan Pasir Mas sebagai persediaan menghadapi penyakit itu.

“Selain itu, kami juga sudah mengarahka­n fasiliti kesihatan di negeri ini melaporkan terus kepada Unit Kawalan Penyakit jika terdapat kes gigitan anjing dan kucing,” katanya.

Sementara itu, Pegawai PKD Tumpat Dr Faizan Ghazali berkata, MoU itu untuk memenuhi keperluan IHR kepada agensi yang terbabit bagi melancarka­n perjalanan persediaan Pejabat Kesihatan Pintu Masuk Antarabang­sa Pengkalan Kubor.

“Ia salah satu kerjasama bagi mencegah dan mengawal penyakit berjangkit dan kemalangan lain di pintu masuk sempadan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia