Harian Metro

Gurauan mahu sehidup semati

-

Kota Tinggi: Suami isteri yang meninggal dunia dalam kemalangan membabitka­n lima kenderaan di Kilometer 59 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, di sini, malam kelmarin disifatkan sebagai pasangan penyayang dan pernah bergurau mahu sehidup semati bersama.

Allahyarha­m Jamaluddin Chemin, 56, dan isterinya Maimunah Abd Wahab, 52, meninggal dunia akibat cedera parah selepas Perodua Axia dinaiki bersama tiga anak mereka dipercayai dirempuh Toyota Caldina yang hilang kawalan dari arah bertentang­an lalu memasuki laluan mereka.

Ibu saudara Jamaludin, Mardiah Husin, 56, berkata, suami isteri itu antara pasangan paling ceria dan penyayang pernah ditemuinya selama ini.

Menurutnya, berbeza dengan pasangan lain yang mungkin tidak menunjukka­n kasih sayang, pasangan berkenaan tidak malu mengutarak­an perkataan sayang di depan orang ramai, selain menunjukka­n kasih masing-masing dengan bersalam dan mencium pipi setiap kali ingin keluar berasingan.

“Maimunah seorang isteri yang sangat menyayangi suaminya, malah dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan mereka tidak hairan apabila melihat pasangan itu mempamerka­n kasih sayang setiap hari.

“Saya akui, mereka pasangan ceria dan tidak seperti pasangan lain, malah kemesraan dan kasih sayang mereka dapat dilihat jelas apabila hendak keluar rumah, malah Maimunah akan bersalaman dengan suaminya dan mencium pipi.

“Selain itu, arwah Maimunah pernah berkata jika ditakdirka­n meninggal dunia, biarlah mereka bertemu ajal bersama-sama,” katanya ketika ditemui di keluarga Jamaludin di FELDA Penggeli Timur, di sini, semalam.

Mardiah berkata, difahamkan ketika kejadian pasangan berkenaan bersama tiga anak mereka, Nur Suriati, 18, Nur Khadijah, 26, dan Nur Aizan, 27, dalam perjalanan ke rumah kakak Maimunah di FELDA Air Tawar 2 untuk beraya.

Katanya, keluarga berkenaan sepatutnya ke Sekolah Seni Johor Bahru untuk menghantar barang kepada anak bongsu mereka yang belajar di tingkatan empat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia