Harian Metro

Parkir di petak OKU, macam mana nak jadi negara maju?

-

Salam sejahtera. Tuhan suruh kita sabar. Yang Maha Esa selalu ingatkan kita bahawa kemenangan akan sentiasa berpihak kepada orang yang sabar. Guru agama kita pun selalu ingatkan kita bahawa sabar itu setengah daripada iman. Pepatah Inggeris pun sebut bahawa ‘patience is a virtue’ maknanya sabar itu satu sifat murni.

Tetapi insan kerdil macam kita selalu juga hilang sabar. Ini tak baik sebenarnya. Kerap juga kita berhadapan dengan keadaan yang betul-betul mencabar kesabaran kita.

Pergi gerai minta teh O kurang manis. Pekerja gerai bawah teh O ais. Minta roti canai garing, dia bagi kita roti kering. Maka hati kita pun berkata – budak ni pekak ke?

Duduk dekat gerai dan pesan makan dan minum. Tauke kedai duduk kat kaunter sambil kira duit. Pekerja datang ambil pesan tetapi tak pulak lap meja yang berair dan ada tumpahan makanan.

Semua nak kena cakap. Tauke tak kesah fasal tauke cuma tau bisnes bagus dan ada ‘masyuk’ bak kata orang sekarang. Yang penting tauke boleh pergi cuti ke Medan dan boleh beli kereta pacuan empat roda yang baru dan diubah suai untuk nampak gagah!

Aku selalu tertanya-tanya dalam hati. Macam ni ke orang berniaga sekarang? Aku tahu bukan semua tauke gerai makanan macam ni. Ada juga yang berniaga dengan ikhlas dan jujur. Memang dia pun nak buat duit tetapi dia juga pentingkan mutu perkhidmat­an dan makanan.

Aku selalu juga bincang dengan ramai orang, termasuk pegawai kerajaan dan wakil badan bukan kerajaan. Apabila bincang fasal hal ini, mereka semua mengeluh.

Sikap sambil lewa peniaga kita memang teruk. Mereka seolah-olah tak peduli langsung fasal perniagaan mereka. Jangan cakap fasal kebersihan. Itu satu hal lagi.

Yang membuat pegawai ini rasa kecewa ialah sikap kita sebagai pengguna. Ramai antara kita amalkan sikap ‘tak kisah’. Pengguna tidak menggunaka­n kuasa yang ada pada tangan mereka – mereka tidak komplen atau bersungut.

Itulah antara sebab peniaga kita buat acuh tak acuh apabila melayan pelanggan. Dan mereka tahu bahawa pelanggan ini akan kembali makan di gerai mereka esok atau lusa.

Jika kita mahu menuju ke status negara maju, kita kena peka semua ini. Semua orang kena ambil berat tentang hal yang boleh menentukan maju mundur sesuatu perniagaan.

Aku percaya gerai yang tidak ambil perhatian cara mereka berniaga akan tutup akhirnya. Faktor saingan akan menghimpit mereka. Hanya peniaga yang beretika dan peka tentang kepuasan pelanggan akan maju.

Status negara maju bukan hanya terletak kepada berapa hebat prasarana yang ada. Juga bukan terletak kepada tahap pendapatan rakyatnya. Ia juga bergantung kepada minda dan sikap rakyat.

Jika minda kita menunjukka­n kita prihatin, sensitif, komited dan sentiasa berusaha untuk memperbaik­i perkhidmat­an dan jualan, insya-Allah kita akan capai status negara maju dengan cepat.

Cuba kita tengok gelagat orang kita. Ada yang letak kereta di petak yang dikhaskan untuk orang kurang upaya (OKU). Masih ramai orang kita buang sampah merata-rata.

Ada yang bawa kenderaan tanpa menghirauk­an keselamata­n orang lain; kejadian buli jalanan juga masih ada di sana sini; kejadian langgar lampu merah berlaku setiap hari dan sikap kejiranan juga semakin kurang.

Ramai orang kita mudah naik darah. Kereta depan kita yang lambat sikit bergerak apabila lampu merah bertukar hijau akan dijerit; duit tabung masjid pun ada yang korek dan curi.

Cukup-cukuplah! Mari kita baiki diri. Jangan suruh orang baiki diri selagi diri kita tidak dibaiki dulu. Kita semua nak duduk dalam negara status maju, tetapi kalau tidak ada anjakan minda yang besar, elok lupakan saja niat itu.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia