Harian Metro

‘Kami perlu menang liga’

-

London: Manchester City berbelanja besar pada musim rehat liga untuk mengukuhka­n skuad yang sudah siap sedia kuat dan pemain tengah Raheem Sterling menyatakan Liga Perdana menjadi keutamaan.

City, yang kali terakhir menjuarai gelaran itu pada 2014 dan menamatkan kempen 15 mata di belakang juara Chelsea musim lalu, sudah membeli penjaga gol Ederson yang dilaporkan bernilai £34.7 juta (RM194 juta), pemain tengah Bernardo Silva £43 juta (RM241 juta) dan pertahanan Kyle Walker £50 juta (RM280 juta).

Sterling berkata harga yang dibayar itu bertujuan untuk memburu gelaran.

“Kami perlu memenangi trofi, kami perlu merampas kembali gelaran Liga Perdana Inggeris,” kata pemain berusia 22 tahun itu.

“Bagi saya ia perkara paling penting tahun depan, untuk menjadi pasukan terbaik di England dan kami sudah membuat beberapa pembelian hebat musim panas ini yang hanya akan memperkasa­kan kelab yang sudah siap sedia kuat.”

City akan memulakan kempen pramusim menentang Manchester United di Amerika Syarikat dalam Piala Juara-Juara Antarabang­sa Khamis ini.

“Kami sudah memastikan kerja keras pada musim rehat, baik dari segi perlawanan dan latihan untuk kembali bersedia bagi kempen pramusim dan kami bekerja keras sepanjang minggu lalu,” ujar Sterling.

“Kami mahu terus menyerang sejak minit pertama. Aksi pramusim pastinya mencabar tapi kami tidak sabar menantinya terutamany­a menentang Man United di Amerika Syarikat.

“Ia akan menjadi pengalaman menakjubka­n dan seperti biasa perlawanan mencabar menentang mereka.”

City juga akan menentang juara Sepanyol Real Madrid dan naib juara Liga Perdana musim lalu Tottenham Hotspur dalam jelajah di AS. - Reuters

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia