Harian Metro

Arkitek Titans terpaksa dilupakan kerana kecederaan

- Malik Muhamad sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Menjelang pertemuan berdepan Pahang dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam ini, skuad berstatus kelab T-Team menerima perkhabara­n duka apabila arkitek utamanya, Mamadou Samassa terpaksa diketepika­n dalam perlawanan ketiga peringkat Kumpulan A selepas dilanda kecederaan serius.

Malah pemain serba boleh itu yang pernah beraksi bersama kelab gergasi Marseille dalam Liga Perancis mungkin terpaksa melupakan baki kempen Piala Malaysia dan Liga Super musim ini jika kecederaan yang dialami belum pulih sepenuhnya.

Penolong ketua jurulatih T-Team, Mohd Azhari Salim berkata, pemain kelahiran Mali itu terpaksa berehat panjang selepas mengalami kecederaan serius putus urat keting ketika bertemu skuad Kelantan minggu lalu.

“Pemain tinggi lampai itu mengalami kecederaan ketika cuba menyaingi bola tinggi sebelum terjatuh semasa permainan baru memasuki pertengaha­n babak pertama.

“Hasil pemeriksaa­n doktor mengesahka­n urat keting pemain itu putus dan perlu menjalani pembedahan sekali gus terpaksa berehat panjang sebelum dapat kembali beraksi.

“Ketiadaan Samassa sudah tentu dirasai kem pasukan kerana pemain yang boleh beraksi di bahagian penyerang dan tengah itu adalah pemain utama kami selain mampu bertindak sebagai penjaring gol,” kata Azhari.

Bagaimanap­un Azhari tidak mahu rentak permainan anak buahnya terjejas dalam aksi pada malam ini biarpun tanpa kelibat bekas pemain skuad kebangsaan Mali dan Perancis itu.

“Saya cabar semua pemain terutama pemain yang bakal menggalas posisi Samassa supaya dapat membuktika­n kemampuan masing-masing dan bukannya mengharapk­an kepada pemain import itu saja.

“Selain itu kami tuntut pemain beraksi dengan lebih baik, fokus dan jangan leka untuk mencatat kemenangan pertama dalam saingan Piala Malaysia apatah lagi beraksi di laman sendiri,” kata Azhari yang mahukan pemainnya melupakan episod malang tewas 1-5 kepada FELDA United dalam aksi liga Sabtu lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia