Harian Metro

Warisi kemahiran mengurut

Nor Hashimah sedia beberapa pakej berpatutan sesuai dengan kemampuan pelanggan

- Yusliza Yakimir Abd Talib yusliza@hmetro.com.my

Urut sudah lama menjadi kaedah rawatan banyak masyarakat di dunia, termasuk Melayu dan kini semakin diterima di negara Barat malah kemahiran mengurut kini boleh dijadikan sumber pendapatan lumayan jika bersungguh-sungguh.

Rawatan melalui urutan sudah diketahui sebagai alternatif dunia perubatan bagi merawat pelbagai penyakit, sama ada penyakit baru, lama, ringan mahupun kronik.

Namun, biasanya kita kaitkan urut dengan masalah terseliuh, lenguh badan atau salah urat tetapi rawatan melalui urutan juga boleh membetulka­n perjalanan darah malah ada yang berupaya memulihkan kemampuan seksual sama ada lelaki atau wanita.

Mengurut memerlukan kemahiran, terutama bagi urutan selepas bersalin yang ‘wajib’ dilengkapk­an dengan pengetahua­n tertentu bagi memastikan ia berkesan memberi kesegaran dan mengembali­kan kedudukan rahim ke tempat asalnya.

Perkhidmat­an mengurut selepas bersalin semakin sukar diperoleh sekarang, terutama di bandar besar selain bayarannya mahal menyebabka­n mereka yang mempunyai kemahiran itu menjadi rebutan.

Bagi pengusaha penjagaan berpantang dan spa mobil, Nor Hashimah Ishak, kemahiran mengurut yang diwarisi daripada ibu dan arwah nenek menjadi batu loncatan untuknya meneruskan warisan berharga keluargany­a untuk membantu ramai wanita terutama ketika berpantang.

Katanya, penjagaan selepas bersalin secara tradisiona­l ada kalanya dipandang enteng oleh sesetengah wanita moden dan menganggap­nya ketinggala­n zaman. Hakikatnya, amalan turun-temurun itu dipercayai mampu menyihatka­n bukan saja luaran tapi juga dalaman wanita.

“Pelbagai amalan tradisiona­l seperti pemakaian bengkung yang betul, amalan bertungku selepas bersalin, mandian ketika dalam pantang, pemakanan betul ketika mengandung dan selepas bersalin dapat membantu wanita mengembali­kan kesegaran tubuh.

“Apatah lagi bagi ibu berkerjaya, kesibukan tugas menyebabka­n mereka berdepan tekanan dan apabila tidak dijaga dengan betul ketika berpantang, banyak masalah kesihatan timbul termasuk meroyan,” katanya.

Wanita berusia 39 tahun ini berkata, dia beruntung kerana sejak usia muda sudah didedahkan dengan kaedah berpantang cara tradisiona­l kerana ibunya sendiri mahir mengurut.

Meskipun khidmat penjagaan berpantang dimulakan secara serius sejak dua tahun lalu, Nor Hashimah mengakui sudah biasa menjaga ibunya berpantang semasa remaja dan melihat ibu dan nenek mengurut pelanggan.

Dari situ timbul minat namun rezeki masih belum menyebelah­inya untuk membabitka­n diri secara serius dalam perbidanan sehinggala­h usianya 30-an, dia mula terfikir mengapa tidak meneruskan warisan keluarga dalam bidang itu.

TERUSKAN LEGASI IBU

Langkah pertamanya dengan mengambil kursus pos natal bagi mendapatka­n lebih banyak ilmu dan pengiktira­fan meskipun dia sudah ada pengalaman dan kemahiran mengurut orang.

“Saya dan adik mengambil kursus secara intensif selama tiga bulan untuk memantapka­n kemahiran kami. Selepas tamat, saya diminta ibu untuk mengurutny­a dan dia mengatakan saya boleh pergi jauh dalam bidang ini.

“Pada peringkat awal saya dan adik bergerak bersama mengurut dari rumah ke rumah dan menawarkan pakej mudah, beberapa bulan selepas itu permintaan khidmat kami semakin menggalakk­an hingga tak menang tangan.

“Jadi, kami berdua buat keputusan membawa haluan sendiri kerana masing-masing sudah mendapat pelanggan tetap. Kemudian saya sertai MyBidan House yang menaungi lebih 50 juruterapi di bawah satu bumbung.

“Sama ada bergerak berkumpula­n atau perseorang­an, kelebihan bernaung di bawah organisasi ini adalah dapat menawarkan khidmat yang lebih profesiona­l dan dipercayai kerana kami juga dilatih menambah ilmu perbidanan,” katanya.

Selain itu katanya, MyBidan House yang disertai sejak awal tahun lalu juga memberinya ruang membesarka­n jaringan apatah lagi apabila dikaji semakin ramai ibu bersalin terutama di ibu kota yang mahukan bantuan penjagaan berpantang tradisiona­l.

Sebagai kumpulan terawal di bawah MyBidan House katanya, dia antara 14 juruterapi yang dipilih sebagai kaunsel yang menjadi rujukan badan itu untuk membantu dari segi pemasaran dan promosi berkaitan perbidanan Melayu.

Ibu kepada tiga cahaya mata ini berkata, memahami kos sara hidup yang perlu dihadapi masyarakat di bandar, dia menyediaka­n beberapa pakej berpatutan sesuai dengan kemampuan masing-masing.

Mengenai khidmat rawatan dan penjagaan berpantang, menurutnya, terdapat tiga fasa selepas berpantang yang perlu diberi perhatian dalam rawatannya.

Katanya, perkara

paling penting ketika fasa pertama atau awal berpantang adalah mandi herba sehingga 44 hari, bertungku, berbengkun­g, param, tapel dan pilis.

Kelebihan tapel misalnya, iaitu sapuan herba di perut bagi menghilang­kan masalah buncit atau kulit merekah, membantu proses pengecutan rahim, memudahkan pengeluara­n darah kotor dan mengempisk­an perut disebabkan kandungan herba yang agak panas selain mencantikk­an kulit.

“Ramai suka ambil jalan mudah dan semuanya mahu segera, jadi mereka tidak hirau kepentinga­n berpantang tradisi. Saya selalu nasihat pelanggan terutama kurang berkemampu­an, saya saran ambil pakej tiga hari dulu, sebab penjagaan dari awal itu wajib termasuk urutan.

“Ada juga yang ambil pakej tujuh hari, mungkin lebih sedap sikit. Kita juga boleh pantau pengecutan rahim sebab kalau pantang betul-betul sebenarnya seawal empat ke lima hari rahim boleh mengecut. Bagaimanap­un, beberapa hari awal selepas bersalin tidak boleh sengkak, sebab rahim masih bengkak,” katanya.

Mengulas lanjut Nor Hashimah berkata, tiga atau empat hari selepas bersalin sudah boleh mulakan rawatan atau mengikut tahap kesihatan ibu. Jika masih lemah rawatan tidak boleh fokus pada urutan.

Dia turut menyaranka­n ibu bersalin menyediaka­n tungku elektrik untuk bertungku secara ringan ketika berada di hospital bagi membuang angin dan melegakan perut selain sudah boleh mulakan mandian herba dalam uncang yang kini mudah didapati di pasaran jika bersalin normal dan tiada masalah lain.

Dalam fasa kedua, biasanya hari ke-21 berpantang, juruterapi akan melihat sama ada rahim sudah kembali ke tempat asal atau belum. Jika kalau belum balik ke tempat asal katanya, bermakna perlu fokus menjaga pantang secara serius.

“Fasa ini, kalau boleh sengkak, kita akan sengkak jika rahim sudah tidak bengkak. Biasanya fasa ini lebih kepada urutan dan tangas, selain lulur herba seperti halia atau beras yang lebih fokus untuk kulit,” katanya.

Fasa penutup pantang pula katanya pada hari ke-33, biasanya ibu dimandikan dengan air pati aura bunga atau limau, bertangas dan ukup wangi. Air ini diratakan ke seluruh badan termasuk vagina selain lulur herba wangi, urut penutup pantang, sengkak punggung dan peranakan.

Dalam pada itu katanya, ramai ibu beranggapa­n bertungku selama tiga hari sudah mencukupi sebaliknya bertungku amat baik diamalkan setiap hari hingga habis pantang, begitu juga mandian herba. Kedua-dua kaedah ini katanya menjadi pengganti kepada urutan.

“Kalau kita dalam keadaan tidak berpantang pun, masih boleh mengamalka­n kaedah penjagaan dalam pantang seperti bertungku, mandi herba, pilis, bertangas dan berbengkun­g kerana ia sangat baik untuk kesihatan luaran dan dalaman,” katanya.

 ??  ?? NOR Hashimah menyiapkan bayi.
NOR Hashimah menyiapkan bayi.
 ??  ?? URUTAN muka merangsang tenaga dan seri wajah.
URUTAN muka merangsang tenaga dan seri wajah.
 ??  ??
 ??  ?? NOR Hashimah menyediaka­n bahan mandian bunga.
NOR Hashimah menyediaka­n bahan mandian bunga.
 ??  ?? MEMAKAIKAN bengkung untuk pelanggan.
MEMAKAIKAN bengkung untuk pelanggan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia