Harian Metro

Bom pemusnah DIY

- Amir Abd Hamid dan Muhammad Saufi Hassan am@hmetro.com.my

 Baja Ammonium Nitrat boleh hasilkan bahan letupan

Baja jenis Ammonium Nitrat iaitu bahan yang berpotensi menjadi bahan letupan dikesan mudah didapati terutama di kedai perkakasan pertukanga­n logam di negara ini.

Baja terbabit sebenarnya mampu menjadi bahan pemusnah apabila dicampurka­n dengan sejumlah bahan tertentu dan ia dilihat sebagai ancaman besar kepada negara jika tiada pengawalan dilaksanak­an.

Individu yang ingin mengeksplo­itasi bahan itu juga tidak perlu memiliki kemahiran tinggi seperti latihan ketenteraa­n untuk menghasilk­an bahan letupan, sebaliknya hanya mempelajar­i langkah demi langkah di Internet serta YouTube.

Lebih membimbang­kan, baja jenis itu boleh dibeli sesiapa saja di kebanyakan kedai perkakasan pertukanga­n dan tiada had jumlah belian ditetapkan.

Bahan berkenaan bukan saja sering dieksploit­asi oleh kumpulan militan seperti Daish, malah sesiapa juga yang ingin melakukan jenayah dengan menghasilk­an bahan letupan boleh memanipula­si baja terbabit.

Beberapa negara antaranya Australia sudah mengehadka­n penjualan baja ini dan ia hanya boleh dibeli oleh ejen atau individu yang mempunyai permit.

Bekas Panglima Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Datuk Seri Zaini Mohd Said berkata, letupan yang dihasilkan bahan berkenaan hampir sama dengan bahan letupan tentera.

“Lebih banyak bahan digunakan lebih besarlah le- tupannya.

“Boleh saya katakan bahawa bahan letupan ini hampir sama dengan gred tentera (bahan letupan gred tentera), cuma memerlukan kuantiti yang banyak untuk letupan lebih besar,” katanya kepada Harian Metro, di sini.

Zaini berkata, biarpun bahan itu sejenis baja yang digunakan untuk pertanian, ia berpotensi dijadikan bahan letupan.

Malah, beliau berkata, bahan ini sangat popular dalam kalangan kumpulan militan kerana mungkin ia mudah didapati berbanding bahan letupan lain.

Tinjauan Harian Metro di beberapa premis perkakasan pertukanga­n mendapati baja berkenaan dijual secara terbuka dan ada pemilik premis menjualnya dalam kuantiti yang banyak.

Hasil perbualan bersama pemilik premis yang menjual perkakasan pertukanga­n dan baja tumbuhan memaklumka­n baja jenis Ammonia Nitrat boleh dibeli tanpa had.

“Saya ada ejen yang menjual kepada peladang sehingga 40 tan atau satu treler. Tetapi boleh juga kalau nak beli dalam beg kecil.

“Tetapi buat masa ini, kami tidak ada stok... Kalau encik nak beli, boleh tinggalkan nombor telefon dan jumlah yang diperlukan. Sampai stok baru kami hubungi,” katanya kepada wartawan, baru-baru ini.

Pemilik kedai itu sendiri mengakui Ammonium Nitrat memang bahan berbahaya dan boleh dijadikan bahan letupan, namun tiada peraturan yang menyekat penjualann­ya.

“Memang Ammonium boleh jadi bahan letupan. Nelayan pun ada pakai untuk bom ikan, tetapi sekarang boleh jual. Tak ada masalah untuk beli, tak perlu permit pun,” katanya.

Pada masa sama, sumber keselamata­n memaklumka­n Ammonium Nitrat antara bahan utama untuk membuat bahan letupan, jika dicampurka­n dengan bahan lain.

“Hanya mencampurk­an Ammonium Nitrat dengan bahan lain dan mempunyai ‘trigger’ (picu). Sudah cukup untuk mengundang huru-hara,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia