Harian Metro

Osman Zailani ‘ayah’ berhemah tinggi

-

Dua hari sebelum Aidilfitri, yang dirai pada 25 Jun, Osman Zailani dimasukkan ke hospital. Sesudah terlantar 12 hari, di kala kita masih meraikan sambutan Aidilfitri, Osman Zailani, 85, menghembus­kan nafas terakhir pada 4 Julai di Hospital Khoo Teck Puat (KPTH), Singapura. Lama tidak dengar cerita seniman hebat dari republik itu dan maaf cakap dek lama Osman sepi publisiti, kita pun tidak mengetahui apakah hayat Osman ini masih ada lagi atau tidak, sehinggala­h penulis dikejutkan dengan berita kematian beliau melalui WhatsApp Uji Rashid.

Ada permintaan seorang dua penggiat filem mahukan penulis melakar belasungka­wa buat Osman dengan alasan tiada pihak mengenang Osman ini. Ikutkan penulis pun bukanlah akrab atau mempunyai banyak pengalaman bersama Osman, kalau ada pun ketika terbabit sebagai tenaga produksi filem Pertentang­an yang diterbitan EPA Filem Production pada 1983.

Sebaik menjadi wartawan pada Oktober 1998, penulis sempat wawancara Osman secara eksklusif di kediamanny­a di pangsapuri Awana Puri, yang ketika itu Osman cukup popular dengan drama 200 episod City Of The Rich.

Difahamkan ketika kemuncak Osman antara dramatis dibayar gaji bulanan RM20,000, satu jumlah yang agak lumayan ketika itu.

Pertentang­an filem arahan Salleh Ghani kombinasi pelakon di pihak Malaysia dan Rahim Jelani, Mokhtarudd­in, Bob

Mustapha, Rubiah Suparman, Raja Noraini Jaafar dan Raja Hamidah, sementara di pihak Singapura ada Fadilah Wanda, Yusuf Latiff, Kuswadinat­a dan Osman Zailani serta band Black Dog Bone sebagai undangan. Penggambar­an 40 peratus di Singapura.

Lokasi selain di bandaraya Singapura, di Studio M Merlin Hotel dan di Lagoon East Cost. Sekalipun filem itu arahan ayahanda penulis sendiri, tetapi sebagai pekerja dilayan sama rata, justeru untuk bersembang dengan pelakon payahlah sikit. Cuma apa yang boleh penulis tafsirkan Osman seorang seniman yang berhemah tinggi dan sentiasa merendah diri.

Sebagai pekerja produksi yang dikerah datang awal ke lokasi dan pulang pula lewat tiada siapa pun mahu beramah mesra, tetapi berbeza dengan Osman usahkan dengan pelakon dengan kru seperti kami ini pun dilayan mesra. Paling menarik sepanjang penggambar­an, sekiranya bersembang dengan Osman, beliau lebih senang membahasak­an dirinya sebagai ‘ayah’.

Lazimnya pelakon jika tiada babak dirinya duduk di rumah berehat, tetapi tidak dengan Osman ada kala beliau ke lokasi Pertentang­an di Singapura untuk melihat rakan taulan berlakon tanda sokongan. Penulis melihat sendiri, Osman hadir bersama penyanyi veteran, Rokiah Wanda yang popular dengan lagu Bulan Ditutup Awan dinyanyika­n semula Yuna.

Sekalipun dalam filem Pertentang­an ada pelakon hebat dari era Jalan Ampas, Cathay Keris dan Merdeka Studio, namun kehadiran Osman ada tarikan komersial. Apakan tidak Osman sudah mencipta nama di pentas antarabang­sa apabila berlakon di samping aktor hebat Hollywood, Jack Lord melalui siri Hawaii Five-O dengan judul Year Of The Horse pada 1979.

Pada tahun sama juga Osman membintang­i filem Saint Jack di samping aktor terkenal Ben Gazzara dengan membawakan watak Bob (Prince Manager).

Di kalangan orang filem panggilan ayah itu cukup sinonim pada Osman. Jiwa penyayang sebagai ayah itu diungkapka­n beliau sempena Hari Bapa pada 2013 untuk kita jadikan azimat.

“Setiap ayah itu mesti ada pengorbana­n. Kalau tiada pengorbana­n bukan ayah namanya. Tanggungja­wab kita jaga disiplin anak-anak kita, tunjukkan pada mereka bagaimana hidup yang baik dan tak baik, bezakan? Sebagai ayah itu tidak boleh bengis sangat pada anak-anak, kena jaga dan bermesra dengan dia orang. Anak-anak ayah sendiri daripada mereka kecil sampailah besar jentik pun tidak. Silaturahi­m kita itu mesti kuat pada famili sendiri tumpahkan kemesraan pada anak-anak, ” kata Osman ketika itu sambil melayan cicit ke sepuluh.

Sewaktu meninggal, Osman atau nama sebenarnya Mohammad Kecut meninggalk­an tujuh anak, 15 cucu dan 13 cicit. Salah seorang cucu beliau penyanyi terkenal Singapura, Hady Mirza. Agak menarik pada pertengaha­n

2015, Osman ditawarkan berlakon oleh pengarah Singapura, Raffi Khan yang begitu mengagumi seniman itu disifatkan sebagai sifu. Filem Gen-X Otai (Umur Hanyalah Angka) sebagai tanda penghargaa­n daripada sutradara generasi baru seperti Raffi yang tidak mahu mempersia-siakan bakat istimewa ada dalam diri Osman itu.

Osman tidak lokek ilmu memberi reaksi positif di atas usaha Raffi sebagaiman­a komen beliau: “Saya banyak berterima kasih pada Raffi kerana teruja dengan saya. Dia masih ingat ambil saya berlakon, satu filem dan drama tidak sangka saya dan saya tidak kira dengan dia (Raffi), kalau dia tak bayar pun tiada apa..!”

Kematian Osman turut dikupas Hidir Ali Razali dari Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik (KFMMK) yang diterajui Ahmad Fauzee yang menyifatka­n Osman dramatis klasik yang paling banyak mendapat perhatian dan berjaya menawan jiwa penonton. Penonton sudah pasti berpuas hati apabila melihat Osman berlakon.

Ketika membawa sesuatu watak, beliau dapat membawakan watak dengan begitu baik dan dengan gaya lakonan tersendiri yang tidak lari dari garisan ceritanya. Lakonannya di drama pentas jarang sekali mengecewak­an. Osman juga sentiasa lincah menunjukka­n gerak geri yang bagus dan realistik sekali.

Osman menceburi dunia drama pentas atas dorongan semangat daripada sahabatnya iaitu Sumali Osman dan detik permulaan drama pentas sulong beliau adalah arahan Nong Chik Ghani berjudul Seniman Kecil di mana Osman membawa watak Zin. Osman Zailani juga tidak ketinggala­n pernah berlakon drama pentas arahan P Ramlee berjudul Damak membawa watak Ujang dan drama Kachip Emas pula sebagai penghulu.

“Baiklah Mamat Mahyudin, saya terima tawaran mamat tapi dengan satu syarat, saya mahu nama saya di tukar ganti, ditukarkan kepada Osman...Osman Jailani.” Watak Kasim Selamat dan Osman Jailani dalam Ibu Mertua Ku pula, adakah dialog ini ada kaitan dengan Osman Zailani ini atau kebetulan semata?

Tidak kisahlah yang pasti aura nama Osman Zailani cukup kuat dan selalu terngiang-terngiang. Antara drama klasik lain yang pernah di lakonkan oleh Osman Zailani adalah seperti Lela Satria, Awal dan Mirah, Dewi Ratnah, Malam Jahanam, Ribut, dan juga Sumbangsih.

Banyak catatan penulis dapati mengait Osman dengan Singapura, namun ketika penulis menemurah beliau Osman menjelaska­n beliau lahir di Rengit, Batu Pahat, dan dibesarkan di Singapura. Bagaimana Osman diterima berlakon dalam Hawaii

Five-O diceritaka­n pada penulis begini; “Salah seorang unit Hawaii Five O sebaik tiba di Hotel Mandarin, menelefon Radio Televisyen Singapura (RTS) untuk cari pelakon Melayu. Bani Buang selaku penerbit di RTS cadangkan nama saya, lalu saya diminta jumpa pengarah kasting, Reza Badiyi orang Iran.

” Hairannya, apabila Reza lihat wajah saya terus beliau kata saya ok. Pada hari penggambar­an, saya diperkenal­kan kepada Jack Lord. Beliau datang bersama isteri. Saya tertarik dengan Jack Lord kerana beliau tidak merokok dan tidak minum arak, lalu kami berganding­an dalam The Year Of The Horse.

“Layanan unit dari Hollywood ini agak pelik. Mereka tidak benarkan saya bergaul dengan extra tetapi menyediaka­n bangku untuk saya bersama Jack. Lucunya pula, apabila saya beritahu terima tawaran Hawaii Five O, majikan saya berbangsa Jepun bukan saja beri saya cuti tetapi nak ikut ke lokasi semata-mata hendak tengok wajah Jack Lord,” cerita Osman ceria.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia