Harian Metro

Demi Angela...

- AFP

 Garcia mahu rangkul trofi Claret Jug buat kali pertama sebagai hadiah perkahwina­n

Bintang golf Sergio Garcia akan melangsung­kan perkahwina­nnya minggu depan namun pemain Sepanyol itu menegaskan perancanga­n majlis perkahwina­n itu tidak akan menghalang­nya dalam persediaan menghadapi Terbuka British.

Sebelum Garcia bernikah dengan tunangnya Angela Akins di Texas, dia bercadang memenangi trofi berprestij Claret Jug buat kali pertama sesudah beberapa kali terlepas sebelum ini.

“Angela melakukan persiapan hebat bagi memastikan semuanya bersedia bagi perkahwina­n itu. Jelas sekali kami amat teruja bagi acara minggu depan,” kata Garcia, juara Masters AS di Royal Birkdale, semalam.

“Namun kami ada sesuatu yang turut menjadi tumpuan minggu ini dan kami mahu berada di sini memberikan segala-galanya dan berharap mempunyai peluang Ahad ini.”

Garcia, 37, berada dalam kelompok bersama juara 2015, Zach Johnson dan pemain Australia, Jason Day bagi dua pusingan pertama Terbuka British minggu ini yang bermula esok.

Dia hadir ke Birkdale sebagai pemain remaja amatur pada 1998 dan sejak itu beberapa kali hampir memenangi kejuaraan.

Dia berakhir sebagai naib juara di belakang Padraig Harrington di Carnoustie selepas penentuan play-off pada 2007 dan tangga kedua di belakang Rory McIlroy di Hoylake pada 2014.

Namun dia berjaya menebus badinya itu tahun ini dengan meraih kejuaraan utama sulungnya di Augusta April lalu malah dilihat menyarung jaket hijau itu ketika kunjungan terbarunya menonton aksi tenis Wimbledon.

Kini dia teruja untuk memenangi lebih banyak trofi utama sekalipun dia tetap berbangga dengan apa yang dicapainya setakat ini.

“Saya sering kali menyatakan konsisten adalah satu daripada perkara hebat sepanjang karier saya. Sudah tentu saya patut menang lebih banyak tapi saya fikir tahap konsisten yang saya lakukan dalam tempoh 18, 19 tahun lalu tidak mudah untuk dilakukan,” katanya.

“Saya fikir sesetengah orang terlepas pandang mengenainy­a. Harapnya saya boleh bertindak lebih baik minggu ini.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia