Harian Metro

Mat Yo, Wan Zack makin menyengat

-

Kuala Lumpur: Selain gembira melihat tonggak import Thiago Augusto Fernandes meledak jaringan demi jaringan, jurulatih FELDA United B Sathianath­an juga mampu mengorak senyum dengan lonjakan prestasi dua penyerang tempatan Wan Zack Haikal Wan Nor dan Norshahrul Idlan Talaha.

Malah, beliau menganggap kedua-dua pemain itu turut memainkan peranan utama dalam membantu jaringan Thiago sehingga pemain Brazil itu berjaya membolosi gawang lawan enam kali dalam dua perlawanan ketika menentang Sarawak dan T-Team minggu lalu.

“Thiago membuktika­n mengapa FELDA sangat memerlukan khidmatnya. Setakat ini dia membalas keyakinan kami terhadapny­a. Begitu juga dengan seorang lagi import, Ifedayo Omosuiyi yang mula mendapat sentuhan jaringan dalam perlawanan menentang T-Team.

“Tapi, apa yang lebih melegakan saya adalah prestasi pemain tempatan seperti Mat Yo (Norshahrul) dan Wan Zack. Mereka bukan saja semakin serasi dengan pasukan, malah kian meningkat selepas agak hambar pada awal musim.

“Walaupun saya tidak menurunkan Mat Yo sepenuh masa, namun setiap kali diberi peluang bermain, dia membawa impak besar kepada pasukan.

“Begitu juga dengan Wan Zack. Ketika menyertai kami, dia baru pulih daripada kecederaan serius. Oleh itu dia mengambil masa untuk mendapatka­n semula rentak serta keyakinan.

“Tapi, sekarang Wan Zack jauh meningkat malah saya boleh katakan dia sudah mendapat semula sentuhan lamanya,” ujar Sathia.

Jurulatih itu turut memuji semangat serta kudrat dimiliki ketua pasukan Shukor Adan yang kini berusia 38 tahun.

“Saya kagum melihat permainan Shukor yang mampu menyaingi pemain lebih muda. Saya berani katakan dia tulang belakang FELDA serta patut dicontohi pemain lain.

“Dengan barisan pemain ini serta prestasi kian meningkat, tidak mustahil untuk kami melepasi sasaran menduduki tangga keempat. Kalau ada peluang, kami nak rebut tempat ketiga atau kedua liga,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia