Harian Metro

Konsep halal untuk pelihara kesucian Islam

- Bersama Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

Halal adalah istilah yang selalu dikaitkan dengan masyarakat Islam khususnya merujuk kepada makanan atau segala perkara berkaitan pemakanan termasuk cara penyediaan bahan yang digunakan dalam pembuatan makanan.

Perkataan ‘halal’ secara harfiahnya bererti dibenarkan atau biasanya diterjemah­kan sebagai mengikut hukum atau undang-undang yang sah.

Halal sebenarnya bukan hanya dikhususka­n kepada makanan semata-mata tetapi merangkumi segala perbuatan (tindak-tanduk), perkhidmat­an atau segala perkara berkaitan kehidupan seorang Muslim.

Ini termasukla­h makanan, minuman, kosmetik, insurans, perbankan dan lain-lain. Halal bermakna penggunaan yang dibenarkan syarak atau undang-undang Islam, bukannya sesuatu yang dilarang atau tidak mendapat keizinanan daripada Allah SWT.

Tuhan yang mencipta manusia dan hanyalah

Dia yang berhak manusia ikut dan patuhi.

Istilah ‘patuh syariah’ juga biasanya digunakan untuk perkhidmat­an yang ada kaitan dengan insurans, pelaburan, kewangan dan perbankan juga bermakna dibenarkan oleh syarak.

Konsep halal dalam Islam mempunyai motif yang sangat spesifik iaitu:

Untuk memelihara kesucian agama.

Untuk melindungi mentaliti Islam.

Untuk mengekalka­n kehidupan.

Untuk melindungi harta benda.

Untuk melindungi generasi masa depan.

Untuk mengekalka­n rasa hormat dan integriti diri.

Halal banyak sekali merujuk dalam pemakanan. Ia menjadi perkara pokok dalam kehidupan semua manusia.

Tanpa makanan, tubuh manusia akan menjadi lemah sehingga tidak dapat menjalanka­n aktiviti dengan lancar. Manusia diberikan panduan oleh Allah SWT untuk hanya mengambil makanan yang halal dan baik saja.

Prinsip halal dan baik perlu diberi perhatian dalam menentukan jenis makanan dimakan bukan setakat halal tetapi juga baik kerana ia akan mempengaru­hi kesihatan jasmani dan rohani.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Maidah, ayat 58 bermaksud: “Dan makanlah makanan yang halal lagi baik daripada apa yang Allah SWT rezekikan kepadamu dan bertakwala­h kepada Allah yang kamu beriman kepada-Nya.”

Allah SWT juga berfirman dalam beberapa ayat berikut berhubung makanan: “Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang terpukul, yang jatuh, yang ditanduk dan diterkam binatang buas kecuali yang sempat kamu menyembeli­hnya dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala.” (Surah al-Maidah, ayat 3)

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhn­ya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhiny­a supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah, ayat 90)

“Sesungguhn­ya Allah hanya mengharamk­an kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatangbi­natang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingini­nya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhn­ya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihan­i.” (Surah al Baqarah, ayat 173)

Manusia diberikan garis panduan yang jelas untuk tidak mengambil benda yang dilarang sebagai makanan supaya manusia tetap selamat dan mendapat perlindung­an daripada Allah SWT.

Penulis ialah Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan profesor di Universiti Putra Malaysia (UPM)

 ??  ?? UMAT Islam wajib mengambil makanan halal yang suci dan bersih.
UMAT Islam wajib mengambil makanan halal yang suci dan bersih.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia