Harian Metro

Wajah ayu lidah bercabang

- Nurul Hidayah Bahaudin nurul.hidayah@hmetro.com.my

 Wanita perdaya orang ramai melalui jual beli dalam talian

Wajah ayu dan tutur kata manis dijadikan modal oleh seorang wanita untuk menipu ramai mangsa yang mengiklank­an barangan mahu dijual melalui laman web jual beli dalam talian.

Malah suspek berusia 30-an didakwa kerap membawa bersama kekasih ‘mat salih’ ketika melakukan penipuan bagi meyakinkan mangsa.

Terbaru seorang pemilik syarikat produksi kerugian RM5,000 apabila kamera model Sony A7R miliknya dilarikan wanita terbabit.

Malah wanita terbabit turut memberikan bukti transaksi pembayaran palsu kepada mangsa selepas kamera berkenaan diserahkan kepada suspek.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Faizal, 37, berkata, dia memuat naik gambar dan mengiklank­an jualan kamera itu pada 7 Julai lalu sebelum dihubungi suspek yang kononnya berminat membeli produk terbabit.

Faizal berkata, mereka mengadakan pertemuan di sebuah stesen minyak di Bandar Tasik Puteri, Rawang, pada jam 11.30 pagi untuk urusan jual beli produk berkenaan.

“Wanita itu muncul bersama seorang lelaki warga asing didakwa sebagai suaminya untuk berbincang berhubung perkara itu.

“Suspek memaklumka­n dia bersetuju membeli kamera berkenaan pada harga RM5,000 dan mahu membayar melalui transaksi ke bank secara dalam talian dengan alasan tidak membawa wang tunai yang banyak,” katanya.

Dia berkata, suspek kemudian menghantar mesej di WhatsApp memaparkan bukti pembayaran dibuat ke akaun bank miliknya sebanyak RM5,000.

“Namun selepas beberapa hari transaksi itu dibuat, saya mendapati wang berkenaan belum dimasukkan ke dalam akaun bank saya.

“Saya cuba menghubung­i suspek untuk mendapatka­n penjelasan­nya namun wanita itu memberikan pelbagai alasan termasuk memaklumka­n dia berada di luar kawasan,” katanya.

Katanya, dia membuat laporan di Balai Polis Bandar Tasik Puteri, Rawang untuk tindakan lanjut.

“Saya percaya wanita itu memang berniat mahu menipu saya kerana sehingga kini (semalam) dia masih belum memberikan wang sebanyak RM5,000 seperti yang dijanjikan, malah memberi pelbagai alasan apabila diminta menyerahka­n semula kamera berkenaan,” katanya.

 ??  ?? KERETA dinaiki suspek ketika berjumpa dengan mangsa di sebuah stesen minyak di Bandar Tasik Puteri, Rawang.
KERETA dinaiki suspek ketika berjumpa dengan mangsa di sebuah stesen minyak di Bandar Tasik Puteri, Rawang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia