20 korban serangan udara
Pakatan Arab diketuai Saudi dituduh lagi sasar orang awam Yaman
Sekurang-kurangnya 20 orang, kebanyakannya dari keluarga yang sama, terbunuh dalam satu serangan udara, dipercayai oleh pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), kejadian berlaku di daerah Mawza di wilayah Taez, barat daya Yaman.
Beberapa penduduk berkata, serangan dilakukan pesawat pakatan yang diketuai Saudi yang memerangi pemberontak Syiah bagi menyokong kerajaan Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.
Sekurang-kurangnya tujuh wanita dan empat kanak-kanak antara yang terbunuh.
UNHCR berkata, ia terkejut dan kecewa dengan kejadian itu.
Menurut agensi itu, orang awam berkenaan ialah pelarian dari daerah Mokha di pantai Laut Merah.
Tentera yang setia kepada Presiden Abedrabbo Mansour Hadi menawan Mokha Februari lalu.
Menurut kenyataan UNHCR, lebih setengah juta penduduk awam wilayah Taez meninggalkan kediaman masing-masing untuk mencari perlindungan di kawasan lebih selamat.
“Kejadian kelmarin sekali lagi menunjukkan ancaman yang dihadapi penduduk awam Yaman, khususnya mereka yang cuba melarikan diri dari keganasan,” menurut kenyataan UNHCR.
Pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi melancarkan operasi ketenteraan terhadap pemberontak Yaman sejak Mac 2015.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih 8,000 orang terbunuh dalam konflik Yaman, kebanyakannya orang awam sejak campur tangan itu.
Bulan lalu, serangan udara menyasarkan sebuah pasar di Saada, wilayah yang dikuasai pemberontak menyebabkan 24 orang terbunuh.