Harian Metro

PUSARA TERPESONG

20 kubur tersasar arah kiblat lebih 30 darjah cetus pertikaian

- Amir Abd Hamid, Muhammad Saufi Hassan dan Rizanizam Abdul Hamid am@hmetro.com.my

Walaupun diletakkan binaan konkrit penanda arah kiblat namun lebih 20 kubur baru di Tanah Perkuburan Islam Kawasan C Pantai Dalam, di sini, tersasar lebih 30 darjah daripada arah kiblat.

Penandaan kiblat konkrit itu terletak kurang 50 meter daripada lokasi kubur yang tersasar dan kebanyakan­nya pusara baru.

Binaan penanda kiblat itu dibangunka­n Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutua­n (JAWI) dan diperakui Jabatan Mufti Wilayah Persekutua­n.

Hasil pemerhatia­n mendapati hampir semua kubur baru terpesong daripada kiblat asal dan kesalahan itu sangat ketara berbanding kubur lama yang mengikut kiblat.

Tambah menghairan­kan, kurang dari 50 meter daripada kubur baru itu terdapat struktur konkrit penanda kiblat yang didirikan JAWI dan ia jelas kelihatan sebagai panduan sebelum mengorek liang lahad.

Sementara itu, seorang ahli kariah Masjid Al-Khadijah Pantai Dalam, Yahya Bakar berkata, dia menyedari kubur itu terpesong daripada kiblat ketika menguruska­n jenazah rakannya Jun lalu.

“Ketika itu, saya perasan beberapa lagi kubur lain turut terpesong daripada arah kiblat sebenar seperti dikeluarka­n JAWI dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutua­n.

“Sedar kesalahan itu, saya menegur penggali kubur itu bahawa liang lahad terbabit terpesong daripada kiblat.

“Jika tersasar sedikit, saya tidak kisah sangat, ini sudah terpesong jauh.

“Namun, penggali kubur itu tidak memberi maklum balas dan pengurusan jenazah rakan saya itu tetap diteruskan. Perkara sama dimaklumka­n kepada ahli jawatankua­sa (AJK) masjid, namun tiada tindakan,” katanya.

Yahya berkata, kubur rakannya itu yang kelima tersasar dan dia turut membuat aduan di Jabatan Mufti Wilayah Persekutua­n berkenaan hal terbabit.

“Selepas itu, saya pulang ke kampung untuk cuti hari raya lalu namun selepas kembali, saya meninjau kawasan perkuburan dan amat mengejutka­n apabila lebih 20 kubur tersasar,” katanya.

Menurutnya, dia berharap agensi berkaitan membetulka­n semula kedudukan kubur berkenaan sebelum lebih banyak lagi kubur baru mengulangi kesilapan sama.

Sementara itu, JAWI mengesahka­n menerima aduan berhubung masalah kubur terpesong itu.

Sumber JAWI memaklumka­n Bahagian Pengurusan Masjid serta Pejabat Mufti melihat perkara itu dan meninjau kawasan perkuburan.

“Susulan itu, JAWI dan Pejabat Mufti membina penanda arah kiblat di kawasan kubur berkenaan sebagai panduan kepada penggali kubur.

“Berdasarka­n pemeriksaa­n, kami lihat lebih daripada 15 kubur terbabit dan kini menunggu laporan penuh daripada Pejabat Mufti untuk tindakan susulan,” katanya.

 ??  ?? PENANDA arah kiblat yang dibina JAWI tidak selari dengan kubur.
PENANDA arah kiblat yang dibina JAWI tidak selari dengan kubur.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia