Harian Metro

Litar pintas cetus kebakaran

-

Litar pintas dipercayai menjadi punca kebakaran kediaman didiami tiga sekeluarga di Jalan SS 2/4, di sini, yang meragut nyawa dua warga emas, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah

Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, hasil siasatan awal anggota forensik bomba mendapati kebakaran berpunca litar pintas pada sambungan elektrik di tingkat bawah rumah teres berkenaan.

“Bagaimanap­un, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran itu,” katanya.

Mohd Zani berkata, mayat Rohani Abdul Manan, 89, ditemui di dalam bilik air di tingkat atas kediaman manakala mayat adik lelakinya, Ahmad Lokman Abdul Manan, 73, ditemui di bahagian dapur di tingkat bawah.

“Seorang lagi mangsa yang tinggal bersama mereka iaitu cucu kepada Rohani, Zain Ariff Zulkifri, 25, berjaya menyelamat­kan diri.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai akibat terhidu asap tebal,” katanya yang memaklumka­n mayat dihantar ke Unit Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, untuk bedah siasat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Azmi Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu daripada jiran mangsa pada jam 3.38 pagi, semalam.

“Seramai 12 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara dan Penchala dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami mendapati api sedang marak dan berjaya dikawal sepenuhnya beberapa minit kemudian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia