Harian Metro

Kerajaan belum cadang tukar harga minyak secara harian

-

Kuala Lumpur: Kerajaan belum bercadang untuk memperkena­lkan formula baru penetapan harga petrol dan diesel secara harian berbanding mingguan yang dilaksanak­an ketika ini.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, penetapan harga secara harian memerlukan penelitian dan persediaan rapi termasuk kepada syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak.

“Kami sudah mengubah penetapan harga itu daripada bulanan kepada mingguan. Jika diubah kepada harian, ini bermakna semua perlu membuat persediaan rapi termasuk syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak.

“Kami perlu pastikan strukturny­a tersusun dan buat masa sekarang kerajaan tidak bercadang menetapkan harga secara harian,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Perbadanan Pembanguna­n Kampong Bharu (PKB), di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi PKB Datuk Affendi Zahari dan Ahli Parlimen Setiawangs­a Datuk Ahmad Fauzi Zahari.

Sebelum ini, Menteri Perdaganga­n Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengguna­an Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, satu formula baru akan diperkenal­kan berhubung mekanisme penetapan harga mingguan petrol dan diesel bagi mewujudkan situasi menang-menang kepada rakyat dan industri termasuk melihat kemungkina­n penetapan harga secara harian.

Johari berkata, terdapat beberapa mekanisme baharu yang sedang dipertimba­ngkan oleh kerajaan namun perkara itu diserahkan kepada Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengguna­an (KPDNKK) untuk menelitiny­a.

“Terdapat dua atau tiga mekanisme setakat ini tetapi biar ia difikir dan diteliti oleh Menteri KPDNKK,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia