Harian Metro

Geng ‘kamikaze’ dalam perhatian

-

Kuala Lumpur: Polis memberi perhatian serius terhadap golongan penunggang motosikal ‘kamikaze’ yang gemar melanggar isyarat lampu merah di sekitar ibu kota.

Malah tinjauan wartawan Harian Metro mendapati golongan ini bertindak terlebih berani dengan berhenti di tengah-tengah persimpang­an sambil menanti masa sesuai untuk melanggar isyarat lampu merah.

Kebanyakan kesalahan ini dikesan dilakukan golongan belia yang sanggup memperjudi­kan nyawa selain membahayak­an pengguna jalan raya lain.

Mengulas lanjut, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkua­saan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, kesalahan itu dikesan dilakukan di kawasan sibuk sekitar ibu negara sejak JSPT KL memulakan operasi dengan lebih tegas sejak 18 Julai lalu.

Menurutnya, kesalahan trafik itu tidak hanya membabitka­n motosikal dan kereta, malah bas serta kenderaan perdaganga­n termasuk lori simen dan lori muatan berat turut dikesan melanggar lampu merah setiap hari.

Beliau berkata, kesalahan berkenaan sentiasa diberi keutamaan dari aspek penguatkua­saan undang-undang namun masih ramai pengguna jalan raya yang berdegil enggan mematuhi isyarat lampu merah.

“Disebabkan itu, kami meningkatk­an operasi menahan mereka yang gagal mematuhi lampu isyarat bermula kelmarin. Lebih banyak pemandu kenderaan akan diambil tindakan selepas ini,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia