Harian Metro

TROCC sedia pamer kemampuan

- Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi sukan@hmetro.com.my

Taiping: “Sesi latihan kami meliputi jalan utama dan berbukit dari Pekan Batu Kurau, Pondok Tanjung, Bukit Merah, Kamunting dan kembali semula ke Batu Kurau.

“Kayuhan kadang-kala disertai Pengerusi Jawatankua­sa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Perak, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria yang juga penaung kelab.

“Beliau sering memberikan semangat kepada pasukan sehingga membuatkan kami tidak sabar untuk beraksi di kejohanan itu,” kata Muhammad Faizal Zamri, 29.

Faizal, wakil pasukan Tukuro Cycling Club (TROCC) yang turut bersaing pada Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Siri Pertama Bukit Merah Laketown Resort pada 29 Julai ini.

Katanya, hampir setiap hari mereka menjalani latihan gigih sebagai persediaan menyertai acara sukan berbasikal lasak itu.

“Bermula minggu lalu setiap hari Isnin hingga Khamis, kami berkayuh sejauh 60 kilometer pada sebelah pagi manakala 30 kilometer pada sebelah petang sebagai rutin latihan kami,” katanya ketika ditemui mengadakan sesi latihan menyusuri Tasik Bukit Merah, di sini, kelmarin.

Menurutnya, sejak TROCC ditubuhkan pada 2012, ini kejohanan ketiga anjuran Harian Metro disertai dengan jumlah penyertaan paling ramai.

“Insya-Allah dengan penyertaan ketiga di Bukit Merah ini, kami akan cuba mencipta kejutan sebagai membalas jasa Datuk Dr Amin yang menjadi tulang belakang sekali gus menaikkan nama TROCC sebagai pasukan berpengaru­h,” katanya.

Faizal berkata, pasukannya turut mendapat suntikan semangat menerusi penajaan jersi baru sumbangan penaung kelab berkenaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia