Harian Metro

Tumpu kekuatan fizikal

Chong Wei perlu lebih tangkas berdepan lawan pada Kejohanan Dunia bulan depan

- Saiful Affendy Sapran saifulaffe­ndy@hmetro.com.my

Jika berkenaan kemahiran bermain, saya sudah mengetahui siapa lawan yang kemungkina­n besar akan ditemui”

Lee Chong Wei

Ketahanan fizikal menjadi antara aspek paling penting buat Datuk Lee Chong Wei dalam menghadapi Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland bulan depan yang dilabel sebagai kemuncak kepada kariernya.

Jelas jaguh perseorang­an lelaki negara itu, pada usia 35 tahun, dia sedar aspek itu perlu menjadi keutamaan dalam usahanya menghadapi pesaing lain.

“Jika berkenaan kemahiran bermain, saya sudah mengetahui siapa lawan yang kemungkina­n besar akan ditemui.

“Tahun ini memang agak sukar kerana ada empat wakil China beraksi dan ada kemungkina­n saya bertemu mereka di suku akhir, separuh akhir atau final.

“Sebab itu saya beritahu aspek ketahanan fizikal sangat penting.

“Tapi saya tak kisah semua itu sebab jika anda mahu menjadi juara dunia, anda perlu sedia bertemu sesiapa saja,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri Majlis Olimpik Malaysia (MOM) semalam.

Chong Wei berkata, ketahanan untuk mengatasi tekanan juga adalah antara aspek yang dititikber­atkan.

“Kalau saya beritahu tak ada tekanan itu bermakna saya menipu diri sendiri.

“Lebih-lebih lagi saya sudah beberapa kali gagal untuk memenangi kejohanan dunia tapi pada masa sama saya belajar daripada segala kesilapan lalu.

“Sebab itu saya perlu mengawal tekanan dengan baik untuk Kejohanan Dunia kali ini,” katanya.

Sebagai rekod, Chong Wei sudah tiga kali mara ke final Kejohanan Dunia dengan kali terakhir dua tahun lalu di Jakarta tetapi semuanya masih belum memihak kepadanya untuk dinobat sebagai juara dunia.

 ?? FOTO: LUQMAN HAKIM ZUBIR ?? CHONG Wei (duduk kanan) ketika majlis sambutan Aidilfitri
MOM semalam.
FOTO: LUQMAN HAKIM ZUBIR CHONG Wei (duduk kanan) ketika majlis sambutan Aidilfitri MOM semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia