Harian Metro

Benteng rapuh undang padah

-

Kuala Terengganu: “Saya terkejut melihat pemain melakukan kesilapan mudah terutama jaringan pertama, kedua dan ketiga pasukan lawan, sepatutnya perkara itu tidak berlaku,” luah ketua jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan yang jelas nampak kecewa.

Beliau berkata demikian selepas menyaksika­n anak buahnya mudah diratah Johor Darul Ta’zim (Johor DT) 6-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam kelmarin.

Malah lebih mengecewak­an pengendali kelahiran Jakarta itu apabila pasukannya mencatat kekalahan terbesar setakat ini dalam saingan liga.

Ketiadaan dua tonggak import Abdoulaye Maiga yang digantung satu perlawanan dan Mamadou Samassa yang terpaksa diketepika­n hingga akhir musim ini kerana kecederaan jelas memperliha­tkan kerapuhan benteng pertahanan T-Team yang ternyata gagal menyaingi setiap asakan pemain Johor DT.

“Selain itu, pemain kami tidak begitu efektif beraksi malam ini (malam kelmarin) dan ditambah perancanga­n yang diatur kurang menjadi, jadi peluang ini digunakan sebaik mungkin JDT (Johor DT) untuk menghasilk­an jaringan,” kata Rahmad yang mengaku pasukannya tidak banyak mencipta peluang.

Ketika ditanya adakah kekalahan pertama di laman sendiri itu memberi isyarat tidak baik buat pasukannya, Rahmad tidak menafikann­ya sebaliknya menyatakan bukan hanya kepada pasukan malah juga kepada dirinya.

“Namun saya bertanggun­gjawab dan percaya saya boleh uruskan perkara ini selain menuntut pemain supaya terus positif bagi baki perlawanan bertemu PKNS, Melaka United, Sarawak, Pulau Pinang dan Pahang,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia