Harian Metro

4 HARI TAHAN LAPAR

- Faliq Lajim dan Nur Izzati Izzah Nadzi am@hmetro.com.my

 Wanita hidap barah tiroid tidak mampu beri anak minum susu

Empat hari tidak menjamah nasi adalah lumrah buat suami isteri, Nur Syafira Abdullah, 30, dan suaminya yang hanya mahu dikenali sebagai Hafrizal, 27, yang tinggal di Kampung Delek, Klang berikutan kesempitan hidup.

Pada masa sama, jika kesempitan wang, mereka hanya memberi anak, Muhammad Aidil Aiman, empat bulan, dan Nur Atiqah Aqisha, 16 bulan, minum air masak atau susu krim dicampur air sebagai pengalas perut.

Bukan tidak mampu memberi susu badan namun Nur Syafira yang juga mualaf tidak dapat berbuat demikian berikutan dia kini menderita barah tiroid peringkat akhir sejak tiga tahun lalu.

Ikuti kisah Nur Syafira atau nama sebenarnya Elvylen Ivy Denious Jero yang memeluk Islam pada 2014 ketika ditemui di kediaman mereka.

“Saya sedih anak kelaparan kerana saya tidak boleh menyusukan mereka memandangk­an barah sudah menyerang keseluruha­n sistem dalaman badan selain nasihat doktor yang meminta saya hanya memberi mereka susu formula.

Namun yang sedihnya, saya dan suami ada kalanya tidak mempunyai wang untuk membeli susu formula. Hanya Allah SWT saja yang tahu kesedihan kami apabila anak-anak menangis kelaparan mahukan susu.

Saya tidak kisah berlapar malah penyakit saya menyebabka­n saya memuntahka­n kembali makanan yang dimakan. Bagaimanap­un, saya tidak sanggup melihat anak kelaparan.

Jika tiada duit, kami makan kangkung dan paku pakis yang hidup di tepi longkang. Saya rebus dan hidangkan dengan sambal belacan.

Kami perlu berulang alik ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dua kali seminggu untuk mendapatka­n rawatan anak sulung kerana di sini, tiada pakar yang boleh merawat mereka.

Nur Atiqah Aqisha menghidap masalah tiroid manakala Muhammad Aidil Aiman pula menghidap angin pasang, masalah jantung lemah serta bengkak dan tiada lubang telinga kanan kerana dilahirkan tidak cukup bulan.

Untuk ke HKL, kami meminjam motosikal adik ipar saya. Jika tiada wang, maka kami tidak dapat bawa anak-anak ke hospital.

Keadaan saya yang lemah dan tidak sekuat dulu menyebabka­n suami tidak boleh meninggalk­an saya seorang diri di rumah bersama anak-anak, malah apa yang dicapai dan dipegang pasti terlepas tanpa sengaja. Kini, suami mengambil alih kerja rumah dan lain-lain.

Ketika ini, kami tinggal di rumah hasil sumbangan sementara pihak yang prihatin dengan nasib kami termasuk untuk mualaf seperti saya. Sebelum ini kami hanya menyewa bilik dan selepas dikurniaka­n anak, ada pihak menyumbang rumah ini kerana tidak sampai hati melihat keadaan kami.

Saya memeluk Islam pada 2014, sebelum ini saya bekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat swasta terkemuka malah saya pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan daripada Universiti Lim Kok Wing.

Namun kehidupan saya berubah selepas dibuang kerja kerana terpaksa menjaga ibu yang sakit di Sarawak. Selepas ibu beransur sihat, saya kembali ke Kuala Lumpur dan mencari kerja di Pelabuhan Klang.

Saya menemui hidayah untuk memeluk Islam pada 2014 dan bertemu jodoh dengan suami. Walaupun saya tahu umur saya tak panjang, saya berharap apabila saya tiada nanti, anak saya dibesarkan dalam keadaan sihat dan terbela.”

 ??  ??
 ??  ?? NUR Syafira bersama suami dan dua anaknya menaiki motosikal untuk ke hospital.
NUR Syafira bersama suami dan dua anaknya menaiki motosikal untuk ke hospital.
 ??  ?? NUR Syafira hanya mampu memberi Muhammad Aidil minum air suam.
NUR Syafira hanya mampu memberi Muhammad Aidil minum air suam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia