Harian Metro

Petaling Jaya:

-

“Saya percaya setiap jemaah yang berangkat ke Tanah Suci mempunyai nawaitu sama, namun jangan lupa meluangkan masa menitipkan doa buat Malaysia tercinta sentiasa diberi rahmat dan lindungan oleh Allah,” kata Datuk Seri Najib Razak yang meminta jemaah haji mendoakan kesejahter­aan dan keamanan Malaysia supaya sentiasa dalam lindungan Allah SWT.

Perdana Menteri turut menitipkan doa itu buat seluruh jemaah haji Malaysia yang mengerjaka­n rukun Islam kelima tahun ini.

“Tunaikan ibadat sedaya mungkin, tapi saya minta dalam doa kita (jemaah haji), mintalah pada Allah supaya Malaysia aman, berjaya dan terus disanjung tinggi semua pihak. Semoga semua mendapat haji mabrur dan dikurniaka­n balasan syurga oleh Allah,” katanya pada ucaptama majlis Selamat Jalan Jemaah Haji di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, di sini, semalam.

Pada musim haji tahun ini, sebanyak 112 penerbanga­n tempah khas disediakan untuk membawa 30,200 jemaah haji ke Tanah Suci menerusi penerbanga­n Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan Flynas.

Perdana Menteri turut meluangkan masa bersalaman dengan sebahagian daripada kumpulan kedua jemaah haji, membabitka­n 420 orang yang berlepas menaiki penerbanga­n ke Madinah, pada 9.30 malam tadi.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Duta Besar Arab Saudi di Malaysia, Mahmoud Hussen Qattan; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Rahim.

Najib berkata, menteri yang ditugaskan menyelia Tabung Haji (TH) saban tahun meminta pertimbang­an kerajaan meneruskan pemberian subsidi untuk manfaat jemaah haji.

“Dari 2006, kos ditanggung jemaah tidak pernah naik dan ini adalah komitmen kerajaan supaya menjadi sumbangan tetap kepada TH,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia