Harian Metro

Tangki pecah lebih usia

Tempoh hayat lebih 10 tahun

- Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz rnorain@hmetro.com.my

Tangki air yang pecah sehingga mengakibat­kan runtuhan dinding bangunan di Kompleks Teruntum, di sini, kelmarin, sudah digunakan selama 13 tahun berbanding tempoh jaminannya iaitu hanya 10 tahun.

Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, tangki air diperbuat daripada gentian kaca itu digunakan melebihi tempoh jaminan diberikan.

“Menerusi taklimat diberikan, tangki (air) berkenaan sudah digunakan sejak 13 tahun sebelum ia pecah manakala warranty (jaminan) adalah 10 tahun, mujur hanya tangki itu saja yang pecah.

“Mungkin ada keperluan membina semula atau dibaiki, harap ia dapat dibuat secepat mungkin, jika perlu sedikit perbelanja­an boleh dipertimba­ngkan untuk pastikan keselamata­nnya,” katanya pada sidang media selepas mendengar taklimat daripada pihak pengurusan dan meninjau lokasi kejadian, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail serta Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Abdul Wahab Mat Yassin.

Dalam kejadian kelmarin, satu daripada dua tangki diperbuat daripada gentian kaca di tingkat empat kompleks berkenaan pecah menyebabka­n air di dalamnya yang berkapasit­i 227,124 liter merempuh dinding hingga pecah.

Runtuhan serpihan konkrit pada ketinggian 40 meter terkena tiga kereta serta 10 motosikal. Empat individu juga cedera ringan akibat terjatuh ketika melarikan diri sebaik menyedari kejadian berkenaan.

Tengku Abdullah turut mengarahka­n semua bangunan lama di negeri ini termasuk bangunan kerajaan diperiksa bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Beliau berkata, pemeriksaa­n itu perlu dilakukan supaya kejadian tangki pecah di kompleks dan seumpamany­a tidak berulang.

“Apa yang berlaku semalam (kelmarin) adalah perkara tidak diingini, namun kajian terperinci perlu dilakukan supaya kerja pembaikan dapat dilakukan segera selain keselamata­n orang ramai terjamin.

“Kita tidak mahu perkara lebih buruk berlaku, kena periksa semua (struktur) bangunan lama seperti bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan pejabat Menteri Besar (Wisma Sri Pahang),” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Abdullah turut meminta pihak pengurusan bangunan mempertimb­angkan pampasan berpatutan kepada semua peniaga yang menyewa premis di kompleks berkenaan.

“Saya tidak pasti bilangan penyewa premis di sini dan kalau boleh, pihak pengurusan bangunan iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) pertimbang­kan pampasan untuk mereka.

“Saya harap perkara (kejadian) ini boleh dijadikan pengajaran, saya minta semua pihak menjadikan penyelengg­araan bangunan sebagai budaya supaya ia tidak mendatangk­an masalah,” katanya.

 ??  ?? TENGKU Abdullah (dua dari kiri) melawat lokasi kejadian tangki air pecah, semalam.
TENGKU Abdullah (dua dari kiri) melawat lokasi kejadian tangki air pecah, semalam.
 ??  ?? ANGGOTA bomba memeriksa tangki air yang pecah, semalam.
ANGGOTA bomba memeriksa tangki air yang pecah, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia